A AIDA. FOTO Arkib NSTP
A AIDA. FOTO Arkib NSTP
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: "Saya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi dan akan berbincang dengan peguam sama ada perlu atau tidak untuk membuat rayuan di Mahkamah Rayuan," kata penerbit, Datuk A Aida selepas pelakon, Amelia Henderson berjaya dalam rayuannya bagi mengetepikan bayaran ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi miliknya, A Aida Production Sdn Bhd dalam isu pelanggaran kontrak sebuah drama tahun lalu.

A Aida ketika dihubungi berkata, dia reda dengan keputusan itu dan perjuangannya untuk memberi pengajaran kepada pelakon agar tidak melanggar kontrak mencapai objektif.

"Apa yang jelas, segala apa yang saya perjuangkan iaitu berlakunya langgar kontrak diperakui oleh Mahkamah Tinggi dan mahkamah turut menasihati kepentingan menghormati kontrak agak ia tidak memberikan kepada pihak yang tidak bersalah.

"Saya rasa kita perlu lihat secara menyeluruh keputusan Mahkamah Tinggi terbabit dan nasihat yang diberikan oleh Hakim mengenai pentingnya menghormati kontrak," katanya.

Ditanya mengenai jumlah RM10,000 yang diperintahkan mahkamah untuk Amelia membayar syarikat produksinya, A Aida berpendapat jumlah itu kecil.

"Peguam saya belum dapat lagi alasan bertulis penghakiman. Tapi secara ringkas saya dimaklumkan peguam bahawa mahkamah bersetuju berlakunya pelanggaran kontrak seperti yang saya tuntut.

"Walaupun begitu jumlah RM10,000 yang diberikan, dengan hormat saya berpendapat adalah rendah.

"Bagi fitnah saya tidak dapat komen kerana ia adalah 'discretionary' atas pemahaman 'posting' terbabit dan mahkamah tinggi mendapati ia bukan fitnah," katanya.

Terdahulu Amelia berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, bagi mengetepikan bayaran ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A Aida Production Sdn Bhd dalam isu pelanggaran kontrak sebuah drama tahun lalu.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan Amelia membayar ganti rugi nominal RM10,000 dalam tempoh 14 hari dan faedah lima peratus kepada syarikat produksi bermula hari ini.

Sebelum ini, Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson, 28, memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang memerintahkannya membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A Aida Production Sdn Bhd pada 18 April lalu.

Pada 7 April lalu, Amelia diperintah membayar ganti rugi lebih RM200,000 terhadap syarikat produksi pengarah terkenal itu.

Hakim Zulqarnain Hassan memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan syarikat produksi itu selaku plaintif terhadap saman yang dikemukakan kepada Amelia selaku defendan.

Penghakiman di Mahkamah Sesyen itu mengatakan mahkamah mendapati Amelia diikat dengan kontrak yang ditandatangani dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 11:58 AM