AMELIA Henderson
AMELIA Henderson
Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: Pelakon, Amelia Henderson, 28, lega dan bersyukur apabila berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, bagi mengetepikan bayaran ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A Aida Production Sdn Bhd dalam isu pelanggaran kontrak sebuah drama tahun lalu.

Amelia atau nama sebenarnya, Amelia Thripura Henderson berkata, mengenai isu fitnah, hakim juga memutuskan video yang dimuat naiknya di Instagram tahun lalu tiada apa-apa unsur fitnah seperti yang didakwa produksi A Aida Production Sdn Bhd.

"Saya tidak perlu 'delete' (padam) video itu atau bayar ganti rugi.

"Berhubung isu langgar kontrak pula, saya juga gembira kerana pihak mahkamah sudah mengurangkan daripada RM200,000 yang dituntut pihak produksi terbabit kepada RM10,000 saja. Terima kasih kepada semua pihak yang beri kepercayaan kepada saya selama ini," katanya.

Terdahulu, Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong memutuskan Amelia berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi berkenaan selepas meneliti segala rekod rayuan secara maksimum dan hujah kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan Amelia membayar ganti rugi nominal RM10,000 dalam tempoh 14 hari dan faedah lima peratus kepada syarikat produksi A Aida Production Sdn Bhd bermula hari ini.

Dalam prosiding secara dalam talian itu, Amelia diwakili peguam Mansheel Kaur, manakala, peguam Ashmadi Othman mewakili syarikat produksi itu selaku responden.

Sebelum ini, Amelia memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang memerintahkannya membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A Aida Production Sdn Bhd pada 18 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 3:27 PM