Ajai (kanan). Datuk Syafinaz (kiri).
Ajai (kanan). Datuk Syafinaz (kiri).
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur : "Kita jangan perlekehkan ilmu dia. Kalau dia berijazah, takkan kita nak meremehkan," kata komposer dan penyanyi, Ajai, 48, mempertahankan sahabatnya, Datuk Syafinaz Selamat yang dikecam termasuk dalam aspek status sebagai juri program realiti bakat, susulan persembahan pada Konsert Ini Baru Bintang 3 terbitan RTM, baru-baru ini.

Ajai ketika ditemui di sidang media Konsert Exists Borneo Tour berkata, seseorang yang bergelar juri tahu mengenai undang-undang dalam sesuatu bidang berdasarkan ilmu dan pengalaman mereka.

"Mungkin orang tak biasa dengar Syafinaz menyanyi soprano, sebab itu bukan muzik pasaran Malaysia. Seperti kita boleh lihat, tak semestinya pengadil di padang bola itu pandai bermain bola sepak. Tapi, dia tahu undang-undang di padang. Itu sebabnya saya cakap muzik bukan sekadar hobi, ia adalah mata pencarian," katanya.

Ajai yang juga pemain keyboard Exists berkata, dia sendiri sudah mula menjadi penerbit muzik sejak 1989 dan terbuka dengan segala kritikan netizen.

"Kita tak mengharapkan kita menyanyi dahsyat bila kita bagi komen pada seseorang penyanyi itu. Tapi, kita tahu mengenai undang-undang nyanyian dan rata-rata tahu Syafinaz adalah pensyarah dan saya pula penerbit.

"Saya sudah mula menjadi penerbit sejak 1989 sampai sekarang dan saya sudah bekerja dengan semua orang. Tapi, pada saya netizen ada hak juga untuk bercakap sebab dalam hiburan ini tiada undang-undang yang melarang sesiapa untuk bersuara.

"Orang yang tak boleh nyanyi pun boleh buat album, jadi tiada undang-undang dalam hiburan. Tapi kami memberitahu apa yang kami tahu berdasarkan ilmu pelajaran kami dan sebab itu kami kekal sampai sekarang. Ia kerana pengalaman dan ilmu kami.

"Tohmahan daripada netizen itu tak mengapa. Itu hak mereka sama ada mereka nak suka atau tidak. Kadang-kadang dia cakap tak suka, bila jumpa di luar pun dia tangkap gambar. Disebabkan itu pada saya tohmahan netizen itu tiada apa-apa," katanya.

Menurut Ajai, dia juga tidak menolak dan tidak mustahil untuk sesiapa saja mencuba nasib dalam bidang seni.

"Kalau dulu mungkin orang boleh anggap hobi. Tapi, sekarang ramai yang berpusu-pusu nak masuk industri hiburan sebab mereka rasa ada pulangan bagus.

"Tanpa bakat pun ada pulangan bagus dan ada bakat pun begitu. Jadi, tak ada undang-undang yang cakap kau tak boleh nyanyi, kau tak boleh buat album dan sebagainya. Ia hanya di pertandingan," katanya.

Dalam pada itu, Exists bakal mengadakan Konsert Exists Borneo Tour pada 17 Disember ini di Borneo Convention Centre, Kuching dan 30 Disember di Sabah International Convention Centre, Kota Kinabalu.

Terdahulu, Syafinaz yang juga juri tetap All Stars Gegar Vaganza menerima segala kritikan itu dengan hati terbuka.

Katanya, kritikan itu langsung tidak menyakiti hatinya sebaliknya membuka ruang untuk memperbaiki diri.

"Sebagai penghibur, saya faham banyak pihak suka mengkritik. Tak mengapa dan saya terbuka menerima kritikan. Kalau saya rasa kritikan itu betul, saya terima dan perbaiki diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 1:10 PM