ELLY Mazlein. FOTO Arkib NSTP
ELLY Mazlein. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Luahan pengacara dan pelakon Elly Mazlein di akaun Instagram Story miliknya mencetuskan tanda tanya sekali gus mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.

Elly yang sebelum ini menarik diri daripada mengacarakan program realiti, All Stars Gegar Vaganza (ASGV) seolah-olah sedang mendedahkan punca dirinya tidak bersama dengan dua rakan pengacara program itu iaitu Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

"Kadang-kadang kita terpaksa melupakan tanggungjawab kita sebab niat saya baik untuk memberi laluan kepada orang yang 'gentar' untuk melakukan kerja.

"Jangan gaduh fasal rezeki. Allah dah susun yang terbaik untuk kita semua. Mengalah tak semestinya kita kalah, tapi kita ambil keputusan melepaskan untuk tenang dan memilih bahagia," tulisnya.

Dalam masa sama, Elly berasa kesal apabila dirinya 'dipetik' hingga dia terpaksa membuat luahan itu.

"Kita dah elok-elok senyap, rakan pulak sengaja mengusik untuk kita cakap benda busuk bangkai ini.

"Menghukum orang tak habis-habis, supaya diri nampak terpaling baik. Makin terselah kelucuan.

"Walaupun sehebat mana pun kita , jangan bersikap sombong dan ingat usul," tulisnya lagi.

Perkongsian Elly itu sudah mula menjadi perbincangan dalam kalangan netizen yang mendakwa pengundurannya mempunyai kaitan dengan pengacara program itu.

"Rasanya Nabil yang buat hal. Kak Lina sudah menumpahkan teh. Tokram (Datuk Ramli MS)  pula dah terkantoikan sikit tadi," tulis seorang netizen di aplikasi X.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 10:50 PM