NABIL Ahmad. FOTO arkib NSTP
NABIL Ahmad. FOTO arkib NSTP
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Pengacara Nabil Ahmad, 40, tidak kisah dilabel 'pakar content' dalam program All Stars Gegar Vaganza (ASGV) yang dihoskannya jika itu dapat membuat penonton duduk layan dan sembang untuk sepanjang minggu.

Nabil ditemui berkata, selama 10 tahun mengacarakan GV dan sekarang ASGV, semua kisah hangat yang berlaku kepadanya menerusi pelbagai elemen 'drama' dimuatkan adalah 'content' program.

"Untuk saya, setiap elemen 'drama' dalam GV itu adalah 'content' yang membuatkan orang tunggu dan akan bercakap mengenainya, walaupun hubungan antara saya dengan individu dikaitkan itu pun okay dan kami tiada masalah.

"Industri hiburan Malaysia ini pun kecil dan pusing-pusing akan berjumpa dan kerja dengan orang (artis) yang sama juga. Macam saya dengan Kak Lina Kepom (Elly Mazlein) kami akan ada program lain yang di hos bersama nanti.

"Jadi, kalau mengikut 'terma' bisnes', saya rasa GV adalah satu show (persembahan) hiburan yang berjaya sebab orang bercakap dan nak tengok serta sentiasa tunggu konsert yang akan datang," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nabil, dia juga sudah lali dengan pelbagai kritikan dan kecaman diterimanya daripada netizen sehingga tidak lagi melayan komen-komen itu kerana sudah dapat menerima dengan hati terbuka.

"Jadi, kalau ada yang nak kata atau labelkan saya 'pakar content' silakan. Saya terima saja kerana sebagai pengacara, apa yang saya buat dalam program itu (ASGV) kerana tanggungjawab kerja yang digalas.

"Bukan mudah sebenarnya nak tarik perhatian penonton dari minggu ke minggu dan atas sebab itu, kita patut duduk dalam kategori orang yang bersyukur. Pada saya sendiri, 'any publicity is a good publicity' walaupun ia cerita yang buruk," katanya.

Nabil berkata, pengaruh media sosial yang luas sekarang membuat kita di televisyen perlu bersaing dengan TikTok dan sebagainya yang video hanya 15 saat, tapi ditonton banyak orang dalam masa terlalu pantas.

Dalam ASGV, Nabil bersama rakan pengacara, Jihan Muse boleh dikatakan setiap minggu berhadapan dengan kecaman netizen yang menyifatkan mereka tidak sensitif terhadap perasaan selebriti lain dengan gurauan 'kasar' dibuat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 1:58 PM