Elly Mazlein
Elly Mazlein
Syafil Syazwan Jefri

 

Kuala Lumpur: "Selepas Kak Lina membaca kesemuanya, ya Kak Lina baca semua komen-komen anda. Sudah masanya Kak Lina tidak perlu ada di All Stars Gegar Vaganza (ASGV) demi menjaga hati anda dan semua pihak.".

Demikian tulis pengacara ASGV, Elly Mazlein atau Kak Lina Pom Pom di Instagram, mengenai 'penarikan diri' sebagai pengacara program itu. 

Penarikan diri itu bagaimanapun sekadar kejutan di pagi ini kerana Elly akan tetap mengacarakan program itu bersama Nabil Ahmad dan Jihan Muse, tetapi, bukan lagi sebagai karakter Kak Lina Pom Pom, sebaliknya sebagai Elly Mazlein. 

"Kak Lina meletakkan kesemua kesalahan kepada diri sendiri. Niat Kak Lina untuk menghiburkan, tapi lain pula jadinya. Buat semua orang tak berminat nak tengok ASGV pulak. Sekali lagi, Kak Lina meletakkan kesalahan kepada diri sendiri. 

"Ya, ramai yang mencari rezeki di GV. Demi kebaikan semua pihak , Kak Lina takkan muncul lagi di ASGV. Minta maaf segala kekhilafan ya. Kak Lina tak bermaksud apa-apa, memang nak menghiburkan.

"Jaga diri ya semua. Terima kasih di atas segala kemanisan yang Kak Lina rasa sebelum ini. Terima kasih banyak-banyak.

"Insya-Allah Elly Mazlein akan menggantikan Kak Lina di ASGV nanti. Jadi, saya berhenti di sini. Jaga diri semua," tulisnya.

Usai konsert minggu pertama ASGV pada Ahad lalu, nama Elly sebagai salah seorang pengacara ASGV kerap dibicarakan di media sosial. 

Ada penonton yang dapat menerima keberadaannya di pentas itu bersama Nabil dan Jihan, dan tidak kurang juga yang memberikan kritikan. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 11:56 AM