Cliff Umar tersingkir pada All Stars Gegar Vaganza di Auditorium MBSA. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Cliff Umar tersingkir pada All Stars Gegar Vaganza di Auditorium MBSA. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Syafil Syazwan Jefri


Shah Alam : Penyanyi, Cliff Umar tidak terasa hati dengan keterlanjuran kata pengacara program All Stars Gegar Vaganza (ASGV), Elly Mazlein minggu lalu kerana baginya, ia tidak bermaksud untuk merendahkan penampilan fizikalnya.

Cliff yang tersingkir dari program itu semalam berkata, Elly yang mesra disapa Kak Lina Pom Pom itu juga sudah memohon maaf daripadanya.

Terdahulu, Elly yang gemar mengusik peserta-peserta lelaki di ASGV dicuit oleh Nabil dan ditanya, kenapa dia tidak terlalu mengusik Cliff.

Elly kemudiannya menjawab, 'tengok orang jugalah' dan rata-rata menghentam Elly, kononnya dia merendahkan penampilan dan paras rupa Cliff.

"Sebenarnya, saya pun tak dengar dia cakap apa waktu itu. Ketika dia memohon maaf kepada saya selepas program selesai, saya pun masih 'blur'.

"Saya tak ada terasa hati dan saya hormat mereka sebagai pengacara," katanya.

Menurut Cliff, Elly hanya menjalankan tugasnya sebagai pengacara dan ingin menghiburkan penonton.

"Bagi saya, tak patut netizen menghentam dia. Dia hanya menghiburkan. Itulah cara hiburan dan netizen pun suka sebenarnya," katanya.

Sementara itu, Elly berkata, dia sudah memohon maaf atas keterlanjuran kata kepada Cliff, pada minggu pertama ASGV.

"Sebenarnya kami semua dah rapat sebagai kawan-kawan dan kita dah biasa bergurau. Jadi, bila dah jadi kawan, ada gurauan yang menjadi kasar. Apapun, saya dah minta maaf dengannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 3:15 PM