Shah Alam : Pengacara All Stars Gegar Vaganza (ASGV), Elly Mazlein menerima setiap pendapat yang mengkritik cara dia mengacara program itu.
Elly bukan saja dikritik netizen di media sosial, tetapi juga artis dan pengacara lain.
"Saya menghormati semua pendapat, tak kisahlah siapa pun termasuklah daripada artis, pengacara atau pelakon.
"Malah, daripada mereka yang pernah mengacarakan satu program dengan empat hingga lima pengacara. Pada saya, saya sayang anda semua," katanya.
Ditanya mengenai karakter Kak Lina Pom Pom yang sinonim dengan namanya, Elly berkata, itu adalah karakter yang diwujudkan bagi mewarnai program-program hiburan yang diacarakannya.
"Kalau 24 jam saya bawakan watak Kak Lina Pom Pom pun, penat juga. Kalau di rumah, saya seperti biasa dengan watak diri saya begini.
"Cumanya, bila saya dah berada di atas pentas, saya kena pelbagaikan watak sebab kita mengendalikan program hiburan," katanya.
Ditanya mengenai komen netizen yang menganggapnya berlebih-lebihan ketika mengacarakan program itu, Elly berkata, dia tahu batasannya sebagai isteri.
"Saya tahu, saya isteri orang. Jadi, sebab itulah saya saya tak pernah sentuh peserta lelaki di pentas, tetapi cuma 'menggelitat'.
"Tapi, bila ada orang tegur, kita kena terimalah teguran itu dan perbaiki kekurangan. Semua orang ada hak masing-masing untuk menegur," katanya.
Terdahulu, pengacara, Che Puan Sarimah Ibrahim menulis hantaran di aplikasi X mengenai program yang diacarakan tiga pengacara itu selepas konsert minggu pertama ASGV.
"Hmm.. Kenapalah kena ada ramai sangat? Maksud saya seorang okay, dua orang okay. Tiga………," tulisnya.
Rata-rata, netizen mengaitkan hantaran itu dengan jumlah pengacara ASGV.
Hampir 12 jam kemudian, Sarimah memuat naik hantaran sambungan di X mengatakan bahawa dia berbicara mengenai hubungan cinta.
Pagi ini, Sarimah memuat naik satu lagi sambungan tulisan di X, bertanya sama ada, ada pihak yang terasa dengan hantarannya minggu lalu.
"Erm... Kita sembang pasal cinta. Tapi, adakah yang terasa?" tulisnya.