PERDANA Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. FOTO Bernama
PERDANA Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. FOTO Bernama
Saadiah Ismail


Kuala Lumpur: Kerajaan komited untuk terus meningkatkan indikator kesediaan perniagaan (B-Ready) Bank Dunia dengan menekankan beberapa pendekatan dan kaedah baharu untuk diperkenalkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata justeru sinergi antara industri dengan program Dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) antara yang disifatkan perlu diberi penekanan.

Katanya, beliau yakin sinergi antara kedua-duanya yang lebih dekat dan percaya keupayaan industri dalam menetapkan jenis latihan diperlukan berbanding pendidikan konvensional.

"Ini antara usaha yang sedang diketengahkan dan komitmen amat diperlukan untuk ubah suai mana yang perlu.

"Negara tidak akan maju sekiranya terikat dengan ruang selesa dan mudah merasa baik dengan setiap kejayaan.

"TVET hari ini tidak lagi formal seperti dulu dan jika mana-mana industri mahu mengambil alih satu atau dua program TVET, sila berbuat demikian.

"Petronas, Proton-Geely sebagai contoh. Ini menjadikan sinergi antara industri dan program TVET lebih erat," katanya ketika merasmikan Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2024, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pengerusi Majlis AKI 2024, Tan Sri Yong Poh Kon.

AKI 2024 menyaksikan lebih 130 syarikat menyertainya dengan 13 kategori dipertandingkan antaranya sektor pembuatan, perkhidmatan dan syarikat paling berpotensi.

Objektifnya adalah bertujuan menggalakkan kecemerlangan serta mewujudkan persaingan yang sihat dan positif dalam industri.

Dalam masa yang sama, Anwar turut menekankan anugerah AKI adalah satu bentuk galakan kepada industri tempatan selain kerajaan berusaha untuk mencari pelaburan asing.

"Kerajaan tidak pernah melepaskan tanggungjawab untuk ruang dan penekanan, pengiktirafan serta insentif dengan rangkaian industri tempatan.

"Ini penting kerana sementara menunggu pelaburan asing yang sedang berkembang baik dengan perdagangan baik, tanggungjawab kerajaan bina kekuatan dalaman, membina industri tempatan sama ada berkaitan dengan sinergi industri luar atau tidak.

"Kerajaan juga dengar keluhan industri tempatan dan alhamdulillah pelaburan asing jangka masa panjang diperoleh kerajaan antaranya menerusi Microsoft, Google yang bernilai kira-kira RM25 bilion.

"Saya tegaskan ia ada kaitan dengan situasi politik yang stabil tetapi rangka kerja bagaimana anjakan dan tatakelola baik dapat mengangkat martabat keupayaan negara kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 10:39 PM