ARMADA Band mahu bawa peminat imbau perjalanan seni mereka.
ARMADA Band mahu bawa peminat imbau perjalanan seni mereka.
Yun Mikail


KUMPULAN popular Indonesia, Armada Band yang akan mengadakan konsert sulung di Sabah bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu pada 4 November depan merancang membawa peminat mereka mengimbau perjalanan sepanjang hampir dua dekad dalam industri muzik di rantau ini.

Mula menginjak di pentas hiburan Indonesia pada 2005, Armada Band yang sebelum ini dikenali sebagai Kertas Band popular dengan lagu seperti Kekasih Yang Tak Dianggap, Selamat Tinggal Kekasih Terbaik, Rintang, Ampuni Aku dan Inikah Nikmat Bercinta.

Pemain gitarnya, Andika Maihendra atau Mai berkata, mereka mahu memperlihatkan transisi Armada Band dari Kertas Band kerana mungkin ada peminat dalam kalangan generasi baharu tidak mengetahui perkara itu.

"Lagu Kertas Band iaitu Kekasih Yang Tak Dianggap sangat popular di awal kemunculan kami. Malah, lagu ini cukup terkenal bukan saja di Indonesia, tetapi juga di Malaysia dan Singapura.

"Lagu ini sangat jarang kami mainkan. Mungkin lagu ini akan menjadi keistimewaan untuk konsert di Kuala Lumpur dan Sabah nanti.

"Sudah hampir 20 tahun di industri muzik, pastinya kami mempunyai peminat pelbagai lapisan umur. Sekurang-kurangnya mereka tahu dan mengerti perjalanan karier seni Armada Band," katanya dalam sidang media Konsert Armada-Janji Bahagia secara virtual di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Hadir sama, anggota Armada yang lain iaitu Rizal Adi (penyanyi), Andit (dram) serta penganjur, Harris Baba dan wakil Empire Live, Ganjar Tribowo.

SEBELUM ini dikenali sebagai Kertas Band.
SEBELUM ini dikenali sebagai Kertas Band.

Dalam pada itu, Andit berkata, persiapan untuk konsert di Sabah dibuat sejak empat hingga lima bulan lalu dan kini mencapai hampir 90 peratus.

Andit berkata, pemilihan lagu juga sudah dibuat, manakala keperluan selebihnya Armada masih menyiapkannya dengan pasukan yang ada di Sabah.

Ganjar berkata, mereka sudah lama merancang mengadakan konsert berskala besar di Sabah, tetapi hasrat itu tertunda akibat penularan Covid-19.

"Peminat Armada Band di Sabah itu ramai, malah kita melalui media sosial kerap mendapat pertanyaan bila kami akan datang mengadakan konsert.

"Kami lihat sekarang adalah masa sesuai untuk kami bertemu peminat di Sabah. Peminat dari Sarawak dan Brunei juga boleh hadir ke konsert itu nanti," katanya.

Selain Kota Kinabalu, Armada Band juga mengadakan konsert di The Star Theatre Singapura pada 18 Oktober depan dan Zepp Kuala Lumpur pada 29 Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 6:20 AM