PENGANJUR bersama sebahagian daripada selebriti popular yang terbabit Konsert Patah Hati 2.0.
PENGANJUR bersama sebahagian daripada selebriti popular yang terbabit Konsert Patah Hati 2.0.
Najiy Jefri


KONSERT Patah Hati siri pertama yang menghimpunkan nama besar seperti Noh Salleh, Aisha Retno, Naim Daniel dan Ernie Zakri di Zepp Kuala Lumpur pada Mac lalu berjaya mencipta satu jenama yang kuat.

Siapa sangka, dalam tempoh setahun Konsert Patah Hati kembali dengan siri kedua di lokasi sama pada 23 November depan.

Pengarah Projek ANS Diversified, Ahmad Faizal Zulkipli berkata, memandangkan Konsert Patah Hati menerima sambutan luar biasa pihaknya enggan mensia-siakan peluang terbabit.

"Pertama kali saya amat bersyukur dan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peminat yang menyaksikan Konsert Patah Hati pada Mac lalu.

"Sambutannya sangat hebat sehingga ramai yang tidak puas dan meminta ia dianjurkan lagi. Jadi, sebagai memenuhi permintaan semua, kini kami kembali bersama konsert sekuel," katanya.

AISHA masih dikekalkan dalam Konsert Patah Hati.
AISHA masih dikekalkan dalam Konsert Patah Hati.

Membariskan beberapa nama popular seperti Nadeera, Ismail Izzani, Bunkface dan Neeta, Konsert Patah Hati 2.0 bakal memberi suntikan baharu kepada peminat setia konsert terbabit.

"Aisha dan Naim masih dikekalkan dalam konsert ini kerana mereka antara penyanyi yang sentiasa memberikan kejutan kepada peminat selain tidak terikat dengan komitmen kerja.

"Kemudian kehadiran beberapa muka baharu ini dipilih kerana mereka mendapat permintaan tinggi daripada peminat di akaun Instagram rasmi Patah Hati.

"Jadi, kami cuba memenuhi segala permintaan mereka selain mengharapkan konsert ini berjaya seperti siri pertama sebelum ini," katanya.

Konsert Patah Hati 2.0 yang bakal diadakan di Zepp Kuala Lumpur turut menampilkan tema neon yang menggambarkan cahaya indah, kepelbagaian rona serta keunikan genre muzik yang ditonjolkan enam artis pada konsert kali ini.

Tiket Konsert Patah Hati 2.0 sudah mula dijual sejak 6 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 6:30 AM