NOH kini fokus pada muzik dan Hujan.
NOH kini fokus pada muzik dan Hujan.
Ramlah Zainal


Nama Noh Salleh, 37, seakan menyepi dari industri muzik sejak bercerai dengan isteri, Mizz Nina. Malah, penyanyi kumpulan Hujan ini juga masih belum bersedia ditemubual pihak media mahupun mengulas kisah rumah tangganya yang dibina selama sebelas tahun itu yang terpaksa diakhiri pada 4 Ogos tahun lalu.

Noh berkata, buat masa ini, fokusnya hanya pada karier muziknya bersama Hujan.

"Selain konsert, kami juga ada perancangan untuk membuat single dan album baru tahun ini. Saya akan berkongsi maklumat mengenainya di media sosial saya atau Hujan.

"Saya juga sibuk membuat persiapan untuk Konsert Patah Hati pada 15 Mac ini secara solo dan bersama Hujan pula, kami akan terbabit dalam festival di Singapura pada 18 Mac ini bersama barisan band ternama dari luar negara. Tiket untuk menonton festival ini masih boleh dibeli dengan melayari media sosial Hujan untuk maklumat terperinci," katanya kepada Harian Metro.

Bercerita mengenai Konsert Patah Hati pula, Noh berkata, dia sibuk membuat persiapan menjelang konsert yang bakal menggegarkan Zepp Kuala Lumpur itu.

Menurut Noh, dia tidak berfikir dua kali untuk terbabit dalam konsert anjuran ANS Diversified Sdn Bhd itu kerana ia menampilkan enam barisan artis dan genre berbeza berkongsi pentas buat julung kalinya.

Selain Noh, Konsert Patah Hati menggabungkan barisan penyanyi hebat tanah air seperti Ernie Zakri, Naim Daniel, Nastia, Aisha Retno dan Imsomniacks.

"Sebenarnya, saya juga sudah lama tidak menghiburkan peminat dalam konsert berskala besar ini. Saya berharap Konsert Patah Hati akan dapat menjadi sebuah platform buat rakyat Malaysia terutama penggemar muzik untuk menghayati karya-karya serta bakat artis tanah air. Insya-Allah, saya akan menyampaikan tiga lagu iaitu Angin Kencang, Sang Penikam dan Kotak Hati," katanya.

Noh berkata, persembahannya akan diiringi tujuh pemuzik profesional dan dua penyanyi latar di bawah pimpinan Pengarah Muzik, Shahakam Mokhtar. Ia juga akan diperindahkan dengan mainan audio visual dan teknik pencahayaan menarik.

"Sudah semestinya, saya menjanjikan sebuah persembahan yang bertenaga dan lagu-lagu yang kita boleh menyanyi bersama-sama peminat," katanya.

Sebelum ini, Noh pernah menjayakan Konsert Tiga Generasi dan Konsert Havoc Midnight yang juga berlangsung di Zepp Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 6:46 AM