NIDJI janji persembahan luar biasa dengan deretan lagu hit mereka.
NIDJI janji persembahan luar biasa dengan deretan lagu hit mereka.
Georgie Joseph


BAND dari Indonesia, Nidji dan penyanyi solo, Budi Doremi buat julung kali berkolaborasi dalam konsert Dream Collaboration bertempat di Zepp Kuala Lumpur, esok.

Nidji yang popular menerusi lagu Hapus Aku meluahkan rasa teruja untuk kembali beraksi dan akan menampilkan lagu baharu seperti Wadoow, Abu-Abu dan Segitiga Cinta.

"Untuk mengubat rindu buat peminat, Nidji akan kembali menghibur Nidjiholic selepas sebelumnya hadir di Malaysia pada 2019.

"Nidji juga sempat melancar ulang lagu Bila Aku Jatuh Cinta dengan susunan baharu iaitu dengan menambahkan sentuhan saksofon yang menghanyutkan," kata Rama mewakili kumpulan Nidji.

Sementara itu, Budi pula yang mula dikenali ramai menerusi lagu popularnya, Tolong juga tidak sabar menjayakan konsert itu dan kini melakukan persiapan rapi bagi berdepan buat kali pertama dengan peminat di Malaysia.

Budi yang sudah lebih 12 tahun berkarya dalam muzik pop turut menyatakan bahawa kolaborasi bersama Nidji adalah satu penghormatan buat dirinya yang juga peminat kumpulan terbabit sejak zaman kanak-kanak.

"Dari kecil sejak usia lima tahun lagi saya mahu bergandingan dengan Nidji. Dan akhirnya impian untuk sepentas dengan Nidji tercapai juga," kata Budi.

"Selain merindukan peminat di Kuala Lumpur, kami turut merindukan nasi kandar," seloroh Nidji yang terkenal dengan lagu yang segar dan tenaga energetik atas pentas.

Konsert yang dianjurkan oleh Inspire itu adalah kolaborasi pertama antara Nidji dan Budi.

BUDI buat julung kali menjayakan persembahan di Zepp KL.
BUDI buat julung kali menjayakan persembahan di Zepp KL.

Malah, lebih menarik Aishah Retno yang meningkat selepas program Big Stage diajak berkongsi pentas bersama mereka pada konsert itu nanti.

Dalam konsert yang bakal berlangsung dalam durasi dua jam anjuran Inspire itu, Nidji berjanji akan membawakan sebuah persembahan luar biasa dengan deretan lagu hit mereka seperti Laskar Pelangi, Bila Aku Jatuh Cinta dan Hapus Aku.

"Tahun ini adalah tahun ke 21 penubuhan Nidji. Konsert di Kuala Lumpur seperti mengulang semula sejarah kami. Kini selepas 21 tahun, kami seronok dapat meraikannya dengan kawan-kawan di Malaysia. Kami sangat gembira dan teruja," kata Nidji.

Sementara itu, penganjur, Inspire berharap gandingan unik antara dua pemuzik ini dapat menawan hati peminat di Malaysia dan sehingga kini jualan tiket bagi konsert itu sangat memberangsangkan.

Tiket menyaksikan konsert boleh didapati di laman web Ticket2U.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 6:11 AM