TAMPIL dengan lagu pengenalan berjudul Going Crazy Wild baru-baru ini.
TAMPIL dengan lagu pengenalan berjudul Going Crazy Wild baru-baru ini.
Georgie Joseph


MUZIK sudah sebati dalam diri pendatang baharu, Katrina Roshan atau Kat seawal usia sembilan tahun. Hakikatnya, dia sudah memupuk minat menulis lagu sendiri ketika itu.

Justeru, Kat, 19, bersyukur impiannya menceburi bidang muzik secara serius akhirnya menjadi kenyataan baru-baru ini.

Single pengenalannya berjudul Going Crazy Wild menjadi pertaruhan meraih perhatian peminat tempatan.

Anak jati Kuala Lumpur itu juga mengakui teruja dan berkobar untuk mencipta nama dalam industri hiburan arus perdana. Dia tiada rasa was-was langsung pun memilih terjun dalam bidang glamor.

"Saya tidak pernah ada fikiran berbelah-bagi. Ini yang saya impikan sejak kecil. Jadi figura awam, masuk industri muzik (arus perdana) sejauh mana termampu. Akhirnya, ia jadi kenyataan.

"Saya berazam menarik ramai peminat lagi bagi mengenali siapa diri saya. Saya menulis lagu sejak sembilan tahun. Saya bercadang melancarkan sebanyak mana lagu yang termampu.

"Sekarang, muzik saya lebih kepada pop, namun masih meneroka genre apa paling tepat untuk saya. Saya banyak menulis lebih kepada rentak balada, tapi dalam katalog saya, ada juga lagu rancak," katanya.

Pada masa sama, Kat juga mementingkan akademik dan bakal menyambung pengajian dalam bidang yang jarang menjadi pilihan iaitu kriminologi.

Menurutnya, dia baru saja diterima masuk untuk pengajian peringkat ijazah sarjana muda di University College of London (UCL) dan ke London pertengahan September depan.

"Saya sentiasa ada rasa ingin tahu mengenai perihal jenayah sejak kecil. Saya kerap menonton (rancangan) Law & Order dan e-buku jenayah, sekali gus rasa ingin tahu itu makin bertambah dan memilih subjek itu," katanya.

KAT sedia kembang nama dalam industri muzik arus perdana.
KAT sedia kembang nama dalam industri muzik arus perdana.

Kat juga tidak berasakan belajar dan fokus muzik pada masa sama satu cabaran besar. Sebelum ini pun dia sudah terbiasa berdepan situasi itu asalkan dirinya tetapkan fokus yang terbaik.

"Saya sudah ada pengalaman melakukannya kerana sebelum ini saya ada menjalani pembelajaran asas yang sangat intensif. Saya mengorbankan banyak masa untuk bersosial, fokus fikiran ke depan, berkurung dan fokus menulis lagu," katanya.

Bercerita mengenai lagunya Going Crazy Wild gandingan bersama penyanyi rap Korea Selatan, Kim Su-jin, dia teruja apabila dapat pengalaman bekerja dengan orang lain dan dari luar negara pula.

"Saya tidak pernah bekerjasama dengan sesiapa sebelum ini. Ini pengalaman menarik dapat bergandingan dengan artis yang memiliki idea menyeronokkan bagi menghasilkan lagu menarik ini," katanya.

Hakikatnya, kerjasama itu juga menjadi pembuka jalan buatnya hasilkan lagu lagi bersama produksi di negara terbabit.

"Saya sangat terbuka untuk belajar bahasa Korea lagi dan kerjasama dengan artis sana. Saya dan penerbit bersama, Park pun ada juga berbincang mengenai lagu akan datang. Mungkin selepas ini gabungkan bahasa Melayu dan Korea pula.

"Saya menjalani rakaman di Korea Selatan tahun lalu. Secara peribadi, bekerja dengan Park sangat menyenangkan. Pasukan (produksi) mereka juga sangat beradab, mesra dan seronok kerja dengan mereka," katanya.

Kat menjadikan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Yuna, SonaOne dan Talitha Tan sebagai inspirasi muziknya. Manakala artis antarabangsa idolanya adalah The Chainsmokers, Madison Beer dan Chelsea Cutler.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 6:20 AM