TERUJA jayakan projek di Korea Selatan.
TERUJA jayakan projek di Korea Selatan.
Georgie Joseph


Gelombang artis Thailand menjadi kegilaan seluruh dunia sekarang umpama tuah yang datang bergolek buat Jeff Satur, 28.

Berada dalam industri hiburan pada era sekarang melonjakkan lagi puncak kerjayanya.

Jeff cukup beruntung kerana dia artis serba boleh. Dia berbakat sebagai penyanyi, pelakon, penerbit muzik dan pereka grafik yang mana setiap lapangan itu dikuasainya dengan baik.

Jejaka kacukan Thai-Cina-Inggeris ini berjaya memanfaatkan segala peluang yang hinggap padanya.

Baginya, dia enggan keciciran peluang memperguna gelombang artis Thailand yang begitu fenomena sejak dua menjak ini.

"Saya anggap ia ruang terbaik untuk tunjukkan kepada dunia dan peluang keemasan pamer sehabis baik mengenai bakat saya. Ini kerana, jelas pasaran sekarang lebih meluas berbanding sebelumnya.

"Pengikut saya bukan saja ada di Thailand, tapi merata-rata dunia. Jadi, ia laluan yang sangat berguna untuk lebih jauh ke depan lagi terutama dalam industri muzik," katanya.

Populariti dikecapnya sekarang mungkin melebihi segalanya. Bagaimanapun, Jeff mahu sentiasa berpaut teguh terhadap prinsip asalnya menceburi bidang seni sejak awal.

Enggan mudah dihanyut arus populariti kilat, dia juga pastikan dirinya sentiasa beringat untuk jadi yang terbaik. Oleh itu, penting juga buatnya mengambil input orang kebanyakan sebagai panduan.

"Saya ingin diingati sebagai artis yang jujur berkarya. Saya mahu tunjukkan betapa bersungguh-sungguhnya saya terhadap bidang yang dicintai tanpa ada terbit sekelumit keraguan pun.

"Saya juga akan ambil pusing pada komen yang ikhlas, jadikan panduan untuk perbaiki diri, buat lebih baik pada projek seterusnya," katanya.

Dengan kesibukan berganda dialaminya sekarang, Jeff sangat bersyukur memiliki pasukan yang cekap menguruskannya. Namun, itu bukan alasannya untuk berpeluk tubuh semata-mata.

"Pasukan yang menguruskan saya ada sekitar 10 orang. Tetapi, saya akan pastikan terbabit dalam setiap projek termasuk muzik dan bukan sekadar serahkan segalanya kepada mereka untuk uruskan.

"Saya tak rasa pasukan saya cukup besar, tapi mereka sangat efektif," katanya.

Kalau menjelajah rencana kariernya, Jeff tidak dinafikan antara artis Thailand yang tidak putus tawaran sekarang. Jadualnya sentiasa padat dan kepenatan itu pastinya lebih difahami sendiri olehnya.

JEFF ingin terus memperbaiki diri dari semasa ke semasa.
JEFF ingin terus memperbaiki diri dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun, dia ada cara tersendiri menghilangkan keletihan diri. Aktiviti seni tetap menjadi pilihannya tatkala merehatkan minda dan aktiviti digemarinya pun cukup santai.

"Apa yang paling penting tidak lain untuk mendapatkan rehat secukupnya. Cukup sekadar tidur nyenyak dan kosongkan fikiran. Menonton rancangan menarik, TV atau anime.

"Saya sendiri pencinta segala bentuk seni bercerita. Baik dalam muzik, permainan digital atau apa juga asalkan ia memiliki jalan cerita. Saya pasti seronok menikmati segala butirannya," katanya.

Kisah di sebalik Dum Dum

Terbaharu melancarkan dan giat mempromosi lagunya berjudul Dum Dum, Jeff turut berkongsi kisah di sebalik lagu terbabit.

Menurutnya, idea lagu itu tercetus daripada pengalaman sendiri.

"Dum Dum menggambarkan amarah apabila terperangkap dalam hubungan yang toksik dan cuba untuk lepaskan diri daripadanya. Sebaik melepasi fasa itu, tiada lagi perkara yang mampu buat kita terluka.

"Walau cuba dilukai, kita takkan rasa kesakitan itu lagi. Saya mahu sampaikan mesej bahawa kita mampu jadi lebih kuat. Tidak perlu lagi bergantung kepada seseorang walaupun awalnya kita takut kehilangan orang itu.

"Lagi-lagi kalau orang itu cukup toksik, tapi kita kena kuatkan hati untuk melepaskan diri daripada situasi itu," katanya.

Berkongsi lanjut, ada cabaran besar juga dihadapinya dalam proses penghasilan Dum Dum.

Katanya, dia perlu cermat dalam penulisan bait-baitnya kerana ada peraturan perlu dipatuhi.

"Bahagian paling susah adalah untuk menulis lagu ini kerana di Thailand, kami kena patuh kepada sebuah ikrar tertentu. Kami tidak boleh tulis lagu sesuka hati dan menggunakan perkataan yang bukan aneh-aneh.

"Lagu itu juga tidak boleh melebih-lebih, kena sopan dan mudah difahami," katanya.

Dia juga berharap mesejnya menerusi Dum Dum bermanfaat kepada sesiapa juga mendengarnya, terutama buat mereka yang terperangkap dalam situasi toksik.

AKUI seronok lihat pasaran artis Thailand semakin meluas serata dunia.
AKUI seronok lihat pasaran artis Thailand semakin meluas serata dunia.

"Saya sendiri sudah melepasi fasa itu, namun ingin salurkan tenaga kekuatan kepada pendengar pula. Saya mahu mereka pun kuat untuk keluar daripada fasa yang toksik sebegitu," katanya.

Menariknya, dia turut menyerlahkan corak nyanyian dalam genre balada berat dalam lagu itu. Ditanya sama ada dia akan memperbanyak lagu balada, Jeff sebaliknya enggan hadkan kemampuan nyanyian.

"Saya tidak meletakkan genre spesifik terhadap corak nyanyian. Saya mahu cuba dan teroka banyak perkara lagi. Jadi, saya tidak mengikut sebarang ketetapan tertentu untuk diri saya.

"Masih banyak lagi genre yang saya belum pernah lakukan dan ingin cuba," katanya.

Terdahulu melancarkan lagu berjudul Steal The Show kerjasama dengan penyanyi Korea Selatan iaitu Shaun, Jeff terima projek itu demi keluar dari kepompong selesanya.

"Saya teringin nak keluarkan lagu rancak dan tidak pernah hasilkan lagu sebegitu sebelum ini. Apabila Shaun hantar demo lagu itu, saya rasa ia idea yang sangat bagus kerana banyak lagu saya berentak perlahan.

"Lagu itu berentak EDM (muzik tari elektronik) dan rock. Bagi saya gabungan dua elemen itu sudah cukup menarik dan teruja sangat nak jayakan proejk terbabit," katanya.

Bakal terbabit siri Korea Selatan

Berkongsi mengenai lakonan, Jeff akui tidak sabar berkunjung ke Korea Selatan tidak lama lagi. Namun katanya, dia enggan bercerita lebih-lebih mengenai projek terbabit.

"Saya akan ke Korea Selatan pada pertengahan tahun ini untuk menjalani penggambaran sebuah siri. Ia sebuah drama Korea, tapi menampilkan pelakon dari pelbagai negara termasuk Korea Selatan dan Filipina, selain saya dan Barcode dari Thailand.

"Saya akan berdialog dalam bahasa Korea untuk babak singkat. Tapi, hampir keseluruhannya bertutur bahasa Thai kerana gandingan saya nanti pun pelakon dari Thailand juga," katanya.

Dalam pada itu, Jeff berkata, pelbagai agenda sudah tersusun untuknya sekarang ini. Dia juga menyatakan keinginan besar untuk berkunjung ke Malaysia bila tiba masa nanti.

"Saya sangat teruja kerana banyak lagi projek akan datang. Baik dalam muzik mahupun lakonan, tapi buat masa ini saya ingin merahsiakannya. Akan banyak kerjasama dengan artis antarabangsa selain di Thailand sendiri.

"Saya akan berkunjung ke sana (Malaysia) cuma tak pasti lagi bila. Mungkin selepas album saya siap nanti, saya akan datang untuk jayakan siri jelajah. Sekarang saya cuma ada sekitar enam lagu, masih tak cukup.

"Album itu dijangka dilancarkan pada penghujung tahun ini dan memuatkan 12 lagu," katanya.

(Penulis yang menemu bual Jeff Satur secara maya, baru-baru ini)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 6:30 AM