SERAMAI 10 penonton cilik bertuah bersama ibu masing-masing yang menyertai Kelas Kuih Malaysia Bersama Jaguh Kartun TV9.
SERAMAI 10 penonton cilik bertuah bersama ibu masing-masing yang menyertai Kelas Kuih Malaysia Bersama Jaguh Kartun TV9.
Norhayati Nordin


DALAM usaha menyemai semangat patriotik dalam kalangan penonton cilik, TV9 menerusi program Kelas Kuih Malaysia Bersama Jaguh Kartun TV9 mengajak penonton bertuah menyediakan hidangan aneka kuih-muih yang mewakili kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia.

Serentak dengan kempen sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Media Prima Berhad yang bertemakan Manis Pahit Bersama, seramai 10 penonton cilik bertuah terpilih.

Mereka berusia enam hingga 12 tahun menyertai Kelas Kuih Malaysia Bersama Jaguh Kartun TV9 yang berlangsung di Sarang Cookery, Bukit Bintang, Kuala Lumpur bermula jam 9 pagi hingga 2 petang.

Pengurus Besar Pengurusan Program dan Penyiaran TV9, Khairunnisa Kamarulzaman berkata, program itu memberi satu pengalaman baharu kepada kanak-kanak untuk mempelajari cara membuat kuih tradisi tempatan.

Katanya, program ini memberi pendedahan kepada generasi baharu mengenai aneka juadah dari pelbagai kaum Malaysia yang menjadi satu identiti dan keunikan yang tidak ada di negara lain.

"Dengan perubahan arus kemodenan yang pantas, pengaruh makanan tradisi ini semakin kurang dek pendedahan makanan barat yang lebih terjurus kepada 'viral' atau 'trendy' yang perlahan-lahan mengikis keaslian makanan tradisi di negara kita.

"Justeru, keunikan makanan tradisi ini perlu diberi pendedahan yang optimum bagi memupuk semangat patriotisme atau semangat cintakan negara serta tidak lupa mengenai keaslian makanan tradisi kita," katanya.

Kelas Kuih Malaysia Bersama Jaguh Kartun TV9 ini menyaksikan pelbagai kerenah kanak-kanak yang teruja belajar membuat kuih.

Dipantau cef berpengalaman, Leong Li Li yang sabar melayan kerenah adik-adik, mereka menunjukkan minat dan ragam yang menghiburkan.

Dengan bimbingan cef, kanak-kanak mengasah kemahiran kulinari mereka dalam membuat tiga jenis kuih tradisional budaya Melayu, Cina dan India iaitu kuih ketayap, angku dan putu mayam.

Khairunnisa berkata, kuih ketayap, angku dan putu mayam melambangkan kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia.

"Kami berbincang bersama cef untuk menghasilkan tiga jenis kuih bagi setiap budaya di Malaysia. Jadi, kami putuskan tiga kuih tradisional ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 6:30 AM