Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Atas kesedaran untuk berkongsi rezeki, pengasas Kueh Cafe, Mohamad Ezwan Mohamad Zain mengambil inisiatif tersendiri bagi membantu golongan asnaf dan ibu tunggal di sekitar Subang Jaya dan Shah Alam, Selangor.

Melalui inisiatif itu, dua restorannya di lokasi berkenaan mengambil kuih yang dihasilkan golongan terbabit.

"Sebanyak 24 keluarga terdiri dalam kalangan ibu tunggal dan asnaf di kawasan itu membekalkan kuih-muih kepada kita. Setiap keluarga membekalkan kuih yang berbeza.

"Kuih ini kita jual di dua restoran berkenaan. Mereka hanya datang bawa kuih-muih untuk kita jual. Kita sediakan semua seperti bungkusan dan pelekat," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Jom Raikan Kuih Malaysia Together-Gether di Balai Berita di sini, semalam.

Hadir Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, Pengarah Urusan Kumpulan MPB Rafiq Razali, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit dan Pengarang Kumpulan News Straits Times (NST) Farrah Naz Karim.

DR Syed Hussian (kanan) bersama Rafiq Razali (tengah) dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Rosli Sabarudin merasai kuih-muih. FOTO AIZUDDIN SAAD
DR Syed Hussian (kanan) bersama Rafiq Razali (tengah) dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Rosli Sabarudin merasai kuih-muih. FOTO AIZUDDIN SAAD

Mohamad Ezwan yang mengusahakan Kueh Cafe sejak 2016 berpandangan, golongan yang sepatutnya dibantu adalah mereka yang terdiri daripada asnaf dan ibu tunggal.

"Saya rasa orang yang patut dibantu adalah golongan ini. Sekurang-kurangnya, saya membantu menaikkan pendapatan per kapita penduduk di kawasan itu," katanya.

Kata Mohamad Ezwan, daripada 24 keluarga itu, mereka menghasilkan 50 jenis kuih.

"Ada yang keluarkan dua jenis, ada yang keluarkan empat jenis. Tetapi, daripada segi kualiti dan rasa, memang kita tidak kompromi," katanya.

Menurut Mohamad Ezwan, daripada segi jualan, lima jenis kuih kerap menjadi pilihan ramai iaitu Seri Muka, Koci, Ketayap, Cara Berlauk dan Keria.

Mohamad Ezwan turut menanam azam bahawa pihaknya serius untuk memartabatkan kuih-muih tradisional di negara ini.

HADIRAN majlis menikmati kuih-muih yang dihidangkan pada majlis pelancaran di Balai Berita, Jalan Riong, Bangsar. FOTO AIZUDDIN SAAD
HADIRAN majlis menikmati kuih-muih yang dihidangkan pada majlis pelancaran di Balai Berita, Jalan Riong, Bangsar. FOTO AIZUDDIN SAAD

"Kita memang serius untuk angkat martabat kuih-muih tradisional. Setakat ini, berdasarkan data hasil penjualan kita, kita jual hampir 100,000 biji kuih sebulan," katanya.

Berdasarkan pengalaman, Mohamad Ezwan turut melihat kuih-muih yang dijual ini menyatukan tiga bangsa utama di Malaysia.

"Daripada pengalaman saya sendiri berniaga di Kueh Cafe, pelanggan terdiri daripada tiga bangsa utama iaitu Melayu, Cina dan India.

"Di restoran kami di Subang Jaya umpamanya, 80 peratus pelanggan membabitkan kaum Cina, selebihnya India dan Melayu. Begitu juga restoran di Shah Alam yang dikunjungi pelbagai bangsa," katanya.

Mohamad Ezwan juga menyifatkan kuih-muih yang ada di negara ini membolehkan masyarakatnya yang majmuk berkongsi makanan bersama-sama.

"Kita boleh makan bersama, duduk sebumbung bersama, boleh berkongsi manisan ini bersama dan ia mengimbau nostalgia sewaktu kita membesar dahulu," katanya.

Sementara itu, Rafiq pada ucapannya menyifatkan makanan adalah perkara yang menyatukan semua pihak dan memuji kempen #ManisPahitBersama yang diperkenalkan oleh MPB.

Beliau berkata, MPB meraikan perbezaan dan kepelbagaian dalam semua aspek operasi.

"Makanan adalah perkara yang menyatukan kita semua. Justeru, penggunaan konteks juadah makanan tradisi dan manisan di Malaysia amat tepat untuk kempen MPB pada tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 6:30 AM
SUASANA meriah apabila kakitangan MPB menikmati hidangan pelbagai kuih-muih tradional pada Majlis Pelancaran Kempen Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bertemakan Manis Pahit Bersama. FOTO AIZUDDIN SAAD
SUASANA meriah apabila kakitangan MPB menikmati hidangan pelbagai kuih-muih tradional pada Majlis Pelancaran Kempen Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bertemakan Manis Pahit Bersama. FOTO AIZUDDIN SAAD