DURIOO yakin animasi Little Ammar dan Mina Mila dapat tambat hati penonton.
DURIOO yakin animasi Little Ammar dan Mina Mila dapat tambat hati penonton.
Najiy Jefri


Penerimaan penonton tempatan terhadap program kartun atau animasi dilihat semakin mendapat tempat di hati, sehingga setiap watak baharu yang diperkenalkan pasti menjadi sebutan ramai.

Lihat bagaimana watak animasi terkenal seperti Upin Ipin, Boboiboy mahupun Ejen Ali melakar kejayaan di dalam dan luar negara.

Melihat perkembangan positif ini, TV9 cuba membawa kelainan dengan melanjutkan slot program kanak-kanak, Jaguh Kartun dari jam 5 petang hingga 7 malam.

Pendekatan ini sesuai dengan stesen TV9 yang sinonim sebagai saluran program kartun atau animasi terbaik sejak dulu.

Pelbagai kartun tempatan berkualiti disusun istimewa buat penonton cilik seperti Knowsy Nina, Supertots, Supersquad, Cingkus Blues, Soccer Bugs, Boboiboy, Ejen Ali dan terbaharu pastinya animasi Little Ammar dan Mina Mila.

Menurut Pengurus Besar, Program dan Kandungan Siaran TV9, Khairunnisa Kamarulzaman, pihaknya menerima pelbagai respons positif penonton terutama melalui media sosial mengenai usaha mengembalikan zaman kegemilangan kartun di saluran TV keluarga itu.

"Kami begitu teruja apabila penonton begitu menikmati program kartun di TV9. Justeru, kami akan menayangkan kartun yang menjadi kegemaran kanak-kanak dan sesuai ditonton dari jam 5 petang hingga jam 7 malam.

"TV9 sentiasa cuba menayangkan program animasi terbaik sesuai dengan peredaran zaman. Malah, seiring dengan inisiatif Jaguh Kartun, kami berbesar hati bekerjasama dengan salah satu jaguh animasi iaitu Durioo untuk menayangkan Little Ammar dan Mina Mila di stesen TV ini," katanya pada sidang media Little Ammar dan Mina Mila secara virtual, baru-baru ini.

Sesi yang berlangsung secara maya itu turut dihadiri Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Durioo, Sinan Ismail, Pengarah Animasi Little Ammar, Nelli Nellisa dan Pengarah Animasi Mina Mila, Nabil Baharum.

Dalam pada itu, Sinan berasa teruja apabila produk terbitannya Little Ammar dan Mina Mila disiarkan di TV9, sekali gus bakal memberi sajian menarik kepada penonton cilik dan seisi keluarga.

"Durioo adalah syarikat yang baharu ditubuhkan pada Ogos tahun lalu. Sebenarnya, pasukan dalam Durioo adalah individu yang menghasilkan animasi seperti Didi & Friends dan Omar & Hana.

"Sebagai syarikat baharu, kami menyasarkan Little Ammar dan Mina Mila dapat menyampaikan animasi hebat berunsur Islamik. Seperti kartun lain yang menghiburkan, Little Ammar dan Mina Mila mahu menyampaikan nilai murni Islam.

"Kehadiran dua program ini juga menjadi faktor mengapa kami menubuhkan Durioo. Dalam media barat, kita boleh lihat tidak semua sesuai dengan budaya dan agama kita," katanya.

Sinan berkata, Durioo akan menampilkan lebih banyak watak animasi untuk penonton dengan lebih 11 karakter kini dalam proses pembikinan.

Mula disiarkan pada 2 Februari lalu, animasi Little Ammar menemui penonton setiap Rabu dan Khamis pada jam 6.30 petang, selama tiga minit.

Little Ammar menampilkan seorang kanak-kanak lelaki comel bersama arnab kesayangannya, Rapbit. Little Ammar berkongsi dengan penonton cilik lagu kanak-kanak, zikir dan video pembelajaran yang mudah difahami.

Bagi animasi Mina Mila pula bakal disiarkan setiap Isnin dan Selasa pada jam 6.30 petang, mulai 28 Mac depan, selama tujuh minit.

Mina dan Mila adalah kakak kembar seiras kepada Ammar dan mempunyai personaliti berbeza.

Animasi ini menyasarkan penonton berusia lima hingga sembilan tahun, dengan keletah seharian mereka yang cukup lucu dan pasti membuat penonton terhibur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 6:46 AM