SYED Hussian ketika hadir majlis Kueh Piknik di Taman Colonial, Bangunan Sultan Abdul Samad.  FOTO Eizairi Shamsudin
SYED Hussian ketika hadir majlis Kueh Piknik di Taman Colonial, Bangunan Sultan Abdul Samad. FOTO Eizairi Shamsudin
Suliati Asri


Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (Media Prima) meraikan kemuncak kempen Manis Pahit Bersama menerusi acara Kuih Piknik iaitu berkelah dengan pelbagai jenis kuih-muih, persembahan, permainan, bengkel dan selebriti.

Berlangsung di Taman Kolonial, Bangunan Sultan Abdul Samad, sebanyak 2,000 paket kuih beraneka jenis dan kopi ihsan KUEH Cafe kepada pengunjung yang datang dengan berpakaian tradisional kegemaran masing-masing.

Selain dihiburkan dengan persembahan daripada Marsha, Lost Spaces, Syafiq Farhain, Haiza, Amir Jahari, Syafiq Kyle, Aida Amron, Sherlyn Seo, Fabian Loo dan Haris Md Noor, pengunjung juga boleh melakukan pelbagai aktiviti menarik termasuk permainan tradisional, menyelami seni mencipta sarung ikat yang rumit dan menyaksikan lukisan seni kopi yang memukau.

Terdapat juga kemunculan personaliti radio kegemaran Malaysia dari Hot FM, Kool 101, Molek FM, FLY FM dan eight FM serta hadiah daripada platform penstriman popular kami Tonton.

Turut hadir pada pada acara ini adalah Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussain Aljunid.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Rafiq Razali berkata, Kuih Piknik adalah cara unik untuk menaikkan semangat pelbagai kaum dan budaya di negara ini.

Beliau berkata, dengan tema 'Bersatu dan hargai perkara manis, menjadikan rakyat Malaysia unik' kempen Manis Pahit Bersama Media Prima bertujuan untuk menyatukan orang ramai dan mengeratkan hubungan antara setiap kaum.

"Acara ini diharap dapat mewujudkan rasa kebersamaan dan membawa rakyat bersatu untuk meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia," katanya.

Beliau berkata, sebagai kumpulan media terkemuka negara, pihaknya juga mempunyai cara mewujudkan acara yang membantu menyatukan rakyat Malaysia di bawah satu payung dan menyemarakkan semangat patriotisme dengan meraikan tradisi serta warisan kuih yang enak.

"Sama ada kuih lapis, ang ku atau putu mayam, kami menghargai kuih lazat ini pada setiap masa.

"Penganjuran acara yang menyatukan rakyat Malaysia ini sudah pasti turut membawa begitu banyak kegembiraan kepada kami di Media Prima kerana kami menghargai kepelbagaian dalam syarikat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 4:24 PM