Hazrul Nizam bersama Diana.
Hazrul Nizam bersama Diana.
Nurul Sabrina Jamali

 

Kuala Lumpur: Penyanyi Singapura, Hazrul Nizam memuji kemampuan penyanyi baharu atas kehebatan suara dan bakat ditonjolkan. 

Hazrul Nizam atau nama sebenarnya, Mohamad Hazrulnizam Taib, 43, berkata, kehadiran penyanyi 'BBNU' yang semakin ramai dalam industri muzik adalah satu persaingan yang sihat. 

"Saya tidak rasa tercabar apabila mereka mempunyai bakat hebat, malah jika lebih ramai dalam bidang nyanyian ini lebih meriah serta dapat mewarnai industri muzik apabila kami 'support' antara satu sama lain.

"Mereka juga mempunyai impian dalam industri muzik ini dan perjalanan mereka masih panjang," katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran single Sejuta Kata di Kota Damansara. 

Dalam pada itu, peserta Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) itu turut mengakui, penyanyi baharu sekarang mempunyai bakat besar dan mampu menempa nama di persada seni muzik. 

"Meskipun kehadiran mereka masih baru dalam bidang nyanyian, tetapi kebolehan mereka sangat luar biasa dan mampu bersaing dengan penyanyi lama.

"Mereka juga perlu diberikan pendedahan lebih supaya dapat menimba ilmu dan mencari pengalaman luas dalam proses menjadi seorang penyanyi hebat," katanya. 

Hazrul yang terkenal dengan lagu Kaulah Segalanya pernah menyertai GV9 dan bersyukur mendapat tempat keenam dalam pusingan terkahir. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 5:30 PM