ROYCE (tujuh dari kiri) bersama finalis dan artis jemputan.
ROYCE (tujuh dari kiri) bersama finalis dan artis jemputan.
Ridzuan Abdul Rahman

Tuah menyebelahi Mohamad Hazrul Hazril Mohd Arif Affendi apabila muncul juara pertama

Program Bakat Kotak Suara NAE berlangsung di 137 Cafe & Bistro Ampang Waterfront, Ampang, baru-baru ini.

Tempat kedua menjadi milik Marsidi Mahen dan pemenang ketiga ialah Che Nurul Hayatul Saqdiah Che Roslan.

Program Bakat Kotak Suara NAE anjuran Nakhoda Alam Enterprise ini mula dilancarkan pada 2 Disember lalu yang bermatlamat mencungkil bakat baru dalam nyanyian.

Untuk edisi pertama, sembilan peserta berjaya melayakkan diri ke pentas akhir iaitu Mohamad Aieriz Makthar, Fairus Mustapa, Mohd Hazrul Hazmir Mohd Arif Affendi, Che Nurul Hayatul Saqdiah Che Roslan, Muhammad Azli Zainuddin, Muhammad Arif Zulfakar Mohd Fariz, Marsidi Mahen, Mohammad Haiqal Shah Mohd Shahrom dan Asrul Mokhtar.

Penyanyi Royce Sa’ayan yang juga Pengarah Program Bakat Kotak Suara NAE berkata, pertandingan yang mendapat sokongan Koperasi Industri Muzik Malaysia Berhad ini dianjurkan dengan kerjasama beberapa penaja lain seperti Attitude Malaysia, World Throttle Full (WTF) Malaysia, Md Clowns Malaysia, Black Orange Garage, Helmy Auto Work, Izzmad Harun Empire dan Mac Ruhayu & Sons Orilicious.

“Kami sedar ramai berminat menjadi artis dan mencari ruang yang sesuai. Program Bakat Kotak Suara mahu menggilap bakat baru yang menyerlah sebagai pelapis industri seni tempatan.

“Ada dalam kalangan peserta ini sering menyertai pertandingan karaoke di pelbagai lokasi dan mungkin di sini rezeki menyebelahi mereka,” katanya.

Menurutnya, peserta yang bertanding mempunyai cabaran tersendiri apabila diberikan tugasan lagu yang berbeza tema setiap minggu.

“Mereka mesti menyahut cabaran Kotak Suara NAE dengan pelbagai genre muzik seperti pop, R&B tradisional, filem, ago go, dangdut dan rock.

“Lagu ini dipilih panel NAE untuk dinyanyikan peserta dari saringan hingga ke pusingan akhir,” katanya.

Menurutnya, selain wang tunai, piala, sijil dan hamper daripada Nakhoda Alam Enterprise, pihaknya turut menjalin kerjasama dengan E-Studios Production Sdn Bhd untuk menaja single juara Bakat Kotak Suara NAE.

Juri untuk pentas final ialah Nashriq Ismail Sabri Yakob, Ayub Hashim, Jamaludin Mad, Md Noor Hendrix dan Royce Sa’ayan.

Artis yang hadir memberikan sokongan pula ialah Mac Ruhayu, Rozita Rohaiza, Rossoma, Zaza, Fyra, Kay Kim, Elveena Irish, Farhan Aziz, Shasha Aziz, Ringgo Jemboo dan Izzmad Harun yang juga ikon Kotak Suara NAE 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 2:24 AM