GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Kuala Terengganu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan seorang pengarah syarikat pengiklanan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah RM92,500 sebagai balasan melantik sebuah syarikat menjadi subkontraktor untuk kerja pemasangan dan penyelenggaraan papan iklan di sekitar Paka, dekat sini.

Menurut sumber, suspek berusia 60 tahun dengan gelaran "Datuk" yang tidak diiktiraf itu menerima sogokan tersebut daripada pemilik syarikat yang dilantik bagi projek bernilai RM2.5 juta itu pada 2020.

"Kami mengesyaki projek ini (projek di Paka) mungkin juga tidak wujud, bagaimanapun wang rasuah itu diterima suspek menerusi akaun pihak ketiga.

"Syarikat suspek dikatakan telah ditawarkan projek berkenaan melalui sebuah kementerian Kerajaan Persekutuan meliputi kerja-kerja pemasangan dan penyelenggaraan papan iklan di seluruh Malaysia," katanya kepada Bernama, hari ini.

Menurutnya, suspek dan seorang lagi lelaki yang merupakan orang tengah ditahan di kediaman masing-masing iaitu di Batu Caves, Selangor dan Kuantan, Pahang, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009.

Hazrul Shazreen berkata kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman esok bagi tujuan permohonan reman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 5:01 PM