FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Deputi Superintendan Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Penulisan kali ini berkisar mengenai kesamarataan dalam sebuah kehidupan dan tajuk ini mungkin membabitkan perbezaan pendapat antara kita.

Namun, penulisan ini adalah pandangan ilmiah penulis sahaja dan jika boleh dijadikan pedoman untuk meniti kehidupan, bolehlah digunakan dan jika terasa janggal untuk menerimanya, abaikan sahaja.

Mungkin luahan pembaca sama nalurinya dengan penulis. Dunia dan kehidupan berkisar dan berjalan tetap sama keadaannya, tapi ragam manusia atau individu itu mungkin berubah mengikut peredaran masa.

Mengapa penulis berkata begitu sebagai contoh yang senang dan santai. Sewaktu memandu kereta balik raya baru-baru ini dalam keadaan menempuh kesesakan lalu lintas berjam-jam, penulis pun membuka siaran radio dengan harapan dapat menghilangkan sedikit stres menempuh kesesakan jalan raya.

Lagipun dalam mood raya yang tinggi untuk mendengar lagu raya, pelbagai siaran radio penulis buka untuk mendengar lagu raya yang dimainkan oleh DJ bertugas.

Terkedu tahap 'sakit jiwa' juga penulis apabila hanya lagu baharu yang viral seperti 'Halamak' berkali-kali didendangkan. Terfikir jauh di sudut hati ke mana menghilangnya lagu-lagu seperti Dendang Perantau dendangan P Ramlee, lagu raya Ahmad Jais atau paling tidak pun lagu Siti Nurhaliza.

Mungkin penulis agak lama tidak mendengar radio dan keadaan sudah berubah dan lagunya pun berubah mengikut zaman. Paling rasa terkilan dan rasa nak ketuk radio di dalam kereta penulis apabila DJ radio menemuramah artis muda.

Dia berkata: "Buat apa kita dengar lagu lama yang menyedihkan sedangkan dalam suasana raya kita mahu bergembira."

Eh, budak BBNU (budak baru nak up) ni begitu pula cerita dan alasannya. Penulis atau orang lama yang memahami keadaan masa kini dan dunia telah berubah. Masa kini adalah zaman mereka yang sedang membesar dan bagi orang lama, sayugia diingatkan kita masih lagi hidup di dunia sama dan menempuh perjalanan sama menuju akhirat, jadi mungkin ada benda yang kita boleh kongsikan bersama.

Buat anak muda, meskipun ada yang bergelar orang lama atau warga emas, tapi jangan pula dilupakan, kenangi jasa dan pengorbanan mereka kerana dengan mereka inilah Gen X, Y atau Z boleh hidup aman dan harmoni sekarang.

Lantaklah anda minat lagu Korea atau mat saleh ketika menyambut hari raya, tapi selitlah lagu atau kisah lama supaya ada keseimbangan hidup, ada yang baru dan lama. Paling tidak pun, ingatlah bahawa anda orang muda yang masih ada ibu ayah. Hormati perasaannya.

Pun begitu demi keseimbangan meniti kehidupan, bagi yang melewati usia pun haruslah menghormati orang muda. Meskipun pelbagai ragam perangai dan tingkah laku asalkan ia tidak melanggar tatasusila dan adat kesopanan teruskanlah dan paling mustahak, jangan sampai mengenepikan agama.

Generasi lama kena faham ini adalah zaman mereka dan nanti jika mereka tua dan kita pun sudah tiada, entah bagaimana pula gayanya dan kita sama-sama doakan yang terbaik untuk generasi akan datang.

Atas dasar kesamarataan dalam kehidupan, jasa dan pengorbanan warga lama haruslah dihargai dengan cara tersendiri. Golongan sudah lama makan garam ini wajar mendapat perhatian yang sama rata seperti golongan kanak-kanak dan wanita.

Janganlah kita bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing kerana tanpa mereka, siapalah kita. Sebagai masyarakat Madani, kita perlu menunjukkan teladan terbaik sepanjang kehidupan kita agar menjadi contoh yang ulung buat generasi muda.

Lambat laun kita akan menjadi warga tua dan semestinya suasana selesa dan aman diimpikan.

Oleh itu, inisiatif membentuk corak kehidupan warga tua yang lebih baik harus disokong supaya suatu hari nanti kita sendiri akan menikmatinya. Negara progresif menjamin kesejahteraan kehidupan rakyatnya serta meningkatkan tahap keselesaan anggota masyarakat yang menyumbang kemajuan negara.

Menyingkap pepatah Melayu, 'jangan mengajar orang tua makan pisang.' Orang tua banyak pengalaman. Sudah tahu cara mana hendak makan pisang. Eloklah orang muda menghormati orang tua. Jangan banyak bantah. Nanti dikata, 'belum pandai buang hingus, sudah hendak berjuang lidah.'

Lagipun orang tua ini tua-tua keladi, makin tua makin menjadi. Sebab itulah kena beri ruang dan hormat kepada orang tua. Pengalaman mereka hendaklah diambil kira. Orang tua banyak makan garam.

Bak kata pepatah Melayu lama lagi, 'dulukan yang dulu makan garam.' Garam itu masin menyebabkan terbeliak juga biji mata apabila mencicip rasa masin melampau. Silap-silap boleh terkena penyakit.

Namun kerana orang tua sudah biasa makan garam, maka mereka dapat bersabar walaupun masin. Tidak marah membuta tuli. Tenang hadapi masalah. Sebab itu, kita orang muda perlu ambil pengalaman daripada mereka.

Setiap orang ada masa kegemilangannya. Daripada muda sesudah bekerja dan memperoleh pengalaman, maka sampai masanya tua pula. Jadi, elok diberi kepada yang muda. Yang muda jika tidak diajar dari sekarang, mana mungkin peroleh pengalaman yang mahal harganya, cuma yang tua boleh sekali-sekala memberi nasihat.

Nasihat penulis, hormati orang lebih tua adalah nilai murni dalam budaya kita yang perlu dijunjung. Orang lebih tua memiliki pengalaman dan pengetahuan berharga.

Oleh kerana itu, penting bagi kita belajar menghormati dan menghargai mereka. Jadi bermula dengan mukadimah tadi, DJ radio sekali sekala putarkan lagu lama agar orang yang melangkah ke alam pencen dapat menyelaminya.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah IPD Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2024 @ 6:31 AM