PEMILIK Aling Hidroponik Farm, Rosli (tiga dari kiri) dan Farah Ain (dua dari kanan) bergambar bersama penyelidik.
PEMILIK Aling Hidroponik Farm, Rosli (tiga dari kiri) dan Farah Ain (dua dari kanan) bergambar bersama penyelidik.

KOLABORASI antara Fakulti Pertanian Lestari (FPL) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Fakultas Pertanian, Universitas Muhammadiyah (Unismuh) Makassar, Indonesia menerusi Projek Komuniti Antarabangsa dilihat mampu membantu usahawan tani yang terbabit di Sandakan, Sabah.

FPL dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan Projek Penerapan Teknologi Aquaponik Dalam Penghasilan Sayur Berdaun di Aling Hidroponik Farm Sandakan itu membabitkan empat pensyarah iaitu Pensyarah Program Pengajian Agroteknologi, Dr Syamsia dan Pensyarah Program Pengajian Perniagaan Tani, Dr Asriyanti Syarifa dari Unismuh dan Pensyarah Program Tanaman Makanan FPL, Dr Siti Suliza Salamat dan Dr Ilmas Abdurofi dari UMS.

"Projek ini memfokuskan teknologi akuaponik dan pengurusan perladangan sebagai menyokong peralihan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) bagi penghasilan keterjaminan makanan menggunakan sumber alam semula jadi.

"Pelaksanaan projek ini juga dijangka memberi manfaat kepada usahawan tani iaitu Rosli Yusof dan Jusneh @ Farah Ain Botong selaku pemilik Aling Hidroponik Farm dalam meningkatkan daya maju perusahaan pertanian," katanya.

Projek komuniti itu membabitkan beberapa tahap pelaksanaan.

"Tahap pertama dan kedua kajian dilakukan di Unismuh dan UMS di kawasan rumah teduhan hijau, di mana penghasilan sayur salad menggunakan air ternakan ikan keli dan siakap merah.

"Bagi tahap ketiga dan keempat pula adalah proses pemindahan ilmu dan penerapan teknologi di lokasi projek membangun komuniti usahawan tani di Sandakan, yang antara lain berkaitan pemasangan peralatan akuaponik dan penjelasan mengenai mekanisme kerja sistem akuaponik.

"Sementara tahap kelima pula lebih kepada kegiatan latihan, pencatatan dan pengurusan ladang yang berlangsung selama dua hari," katanya.

Usahawan tani juga akan diberi pendedahan berkaitan kaedah mencatatkan hasil, menghitung modal, kos tetap, kos berubah, jangkaan hasil, balik modal, untung atau rugi.

Sementara itu, Dr Syamsia berharap, kolaborasi ini mampu memberi manfaat kepada semua pihak yang terbabit.

"Dengan menerapkan teknologi akuaponik dan perancangan yang baik, kami berharap petani dapat meningkatkan produksi dan meraih keuntungan yang lebih besar.

"Justeru, ucapan penghargaan diberikan kepada pengurusan Unismuh yang menyalurkan dana untuk projek ini. Malah, penghargaan juga kepada FPL UMS kerana memilih Unismuh sebagai rakan kolaborasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2024 @ 6:10 AM