PENGARANG Kumpulan NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (dua dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran (kiri sekali), Ketua Pegawai Eksekutif KTM, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin (tiga dari kiri) dan Pengasas Fellera Beauty Malaysia, Sharifah Khyra Muhsin (tiga dari kanan) bergambar ketika majlis pelancaran Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 35 di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar RAHIM
PENGARANG Kumpulan NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (dua dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran (kiri sekali), Ketua Pegawai Eksekutif KTM, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin (tiga dari kiri) dan Pengasas Fellera Beauty Malaysia, Sharifah Khyra Muhsin (tiga dari kanan) bergambar ketika majlis pelancaran Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 35 di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar RAHIM
Fatin Farhana Ariffin

Kuala Lumpur : Buat kali pertama, edisi ke-35, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) memperkenalkan Lembaga Juri ABPBH 35 bagi menilai kelayakan calon bersaing dalam 12 kategori utama dan tujuh kategori Ekstra! yang dipertandingkan pada acara bertemakan Ekspresi Legasi Seni itu.

Pengarah ABPBH 35 merangkap Pengarang Berita Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir berkata, pelantikan Lembaga Juri ABPBH 35 dianggap sebahagian proses pembaharuan dan evolusi yang diperkenalkan penganjur bagi meningkatkan martabat dan kredibiliti acara anugerah yang sinonim dengan BH.

"Secara umumnya, ABPBH memberi kuasa mutlak kepada peminat untuk memilih artis kesayangan dalam semua kategori dipertandingkan.

"Bagaimanapun, buat kali pertama dalam sejarah ABPBH, kita memperkenalkan Lembaga Juri ABPBH 35 yang berperanan menilai, memberi justifikasi dan pandangan terhadap kelayakan calon dari peringkat awal pencalonan.

"Ini bermakna proses pemilihan 20 calon dalam kategori utama dan Ekstra! seperti yang diumumkan, dibuat melalui proses rundingan dan perbincangan juri berpandukan fakta sokongan, syarat penyertaan dan garis panduan ditetapkan Jawatankuasa Pengelola ABPBH 35.

"Pelantikan Lembaga Juri ABPBH 35 dianggap suatu langkah besar diambil penganjur bagi memastikan kredibiliti acara anugerah ini kekal utuh," katanya.

Pada majlis pelancaran ABPBH 35 di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur di Jalan Sultan Hishamuddin di ibu negara, malam tadi, Fellera, iaitu pengeluar produk kesihatan wanita terkemuka Jelly Ajaib Bellrossa, diumumkan sebagai penaja utama.

ABPBH 35 menetapkan pencalonan terbuka kepada penggiat seni merangkumi personaliti, selebriti, pelakon, penyanyi, tenaga kreatif dan sebagainya yang terbabit secara aktif dan konsisten dalam bidang masing-masing.

Calon individu, gandingan atau berkumpulan mengikut kategori tersenarai, perlu menghasilkan sekurang-kurangnya satu produk yang diterbitkan sepanjang tempoh Januari hingga Disember 2021 serta Januari hingga Disember 2022, yang menepati penilaian Jawatankuasa Penganjur ABPBH 35 dan Lembaga Juri ABPBH 35.

Shamshul Azree berkata, undian panel juri mewakili 30 peratus, manakala peminat sebanyak 70 peratus bagi setiap kategori dipertandingkan.

Sementara itu, mengulas mengenai nama baharu bagi beberapa kategori dipertandingkan seperti BBNU Lelaki dan Wanita Popular menggantikan Artis Baharu Lelaki dan Wanita Popular seperti yang diperkenalkan sejak dahulu, Shamshul Azree berkata, perubahan dibuat bagi menjadikan acara anugerah ini lebih 'muda' dan segar.

"Umum tahu istilah BBNU digunakan sejak beberapa tahun lalu dan 'melekat' dalam ingatan peminat terutama generasi muda.

"Keputusan memberi nama baharu bagi kategori Artis Baharu Lelaki dan Wanita Popular diambil sebagai usaha 'meremajakan' ABPBH dengan menjadikan kelompok Gen Z sebagai sasaran," katanya.

Selain BBNU Lelaki dan Wanita Popular, kategori lain seperti Aktor Filem Popular, Aktres Filem Popular, Aktor TV Popular dan Aktres TV Popular dalam kategori utama turut diperkenalkan.

Bagi kategori Ekstra!, kategori Couple Drama Popular dan Couple Filem Popular diperkenal bagi menggantikan kategori Gandingan Serasi Filem dan Drama Popular.

Shamshul Azree berkata, usaha 'meremajakan' ABPBH 35 diterapkan dalam pengisian acara termasuk promosi, kandungan dan pengisian malam kemuncak yang memberi fokus kepada artis, selebriti dan tenaga kreatif pelapis.

"Tampil berbeza, ABPBH 35 memberi penekanan kepada bakat pelapis yang berusaha meningkatkan kecemerlangan dan keupayaan diri, namun pada masa sama, menjadikan seniman, bintang legenda dan artis ternama sebagai inspirasi," katanya.

Shamshul Azree berkata, semua hebahan mengenai aktiviti ABPBH 35 akan dikongsi melalui media sosial, laman web BH Online dan platform digital kendalian RMG dari masa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 11:19 AM