Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Undian pusingan pertama kategori solo membabitkan tiga selebriti popular iaitu Zizan Razak, Zul Ariffin dan Remy Ishak pada Anugerah Bintang Popular BH ke-34 (ABPBH34) yang dilancarkan pada 24 September lalu tidak akan dikira, sekali gus tidak disenaraikan dalam Top 5 selepas mereka membuat pengumuman menarik diri, baru-baru ini.

Zizan tersenarai dalam calon awal kategori utama Pelakon Filem Lelaki Popular, Artis Versatil Popular dan kategori online Gandingan Serasi Filem Popular; Zul (Pelakon TV Lelaki Popular dan dua pencalonan dalam kategori online Gandingan Serasi Drama Popular) dan Remy ( Pelakon TV Lelaki Popular dan kategori online Gandingan Serasi Drama Popular).

Bagaimanapun, undian diperoleh tiga artis terbabit untuk kategori online iaitu Gandingan Serasi Drama Popular dan Gandingan Serasi Filem Popular tetap diambilkira atas faktor pencalonan adalah mengikut watak gandingan yang dibawa calon dalam drama atau filem, selain mahu berlaku adil kepada pasangan atau pelakon yang digandingkan dalam karya dipertandingkan.

Selain itu, calon awal kategori Artis YouTuber Popular iaitu Zukie Mohamad turut menyatakan hasrat menarik diri daripada pencalonan awal ABPBH 34.

Pengarah Jawatankuasa Pengelola ABPBH 34 merangkap Pengarang Berita Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir berkata, sebagai acara hiburan berprestij yang mementingkan integriti dan legasi dicipta lebih tiga dekad lalu, ABPBH mahu terus memberi mandat kepada peminat untuk menentukan artis layak bergelar Bintang Paling Popular.

"Industri kreatif tempatan runtuh sejak pandemik Covid-19 melanda negara lebih 18 bulan lalu. Namun, kita lihat kesetiaan dan sokongan peminat terhadap penggiat seni terus utuh.

"Tidak keterlaluan jika dianggap peminat adalah penyelamat kepada kelangsungan dunia hiburan yang perlahan-lahan bangkit semula susulan kelonggaran diberi kerajaan kepada penggiat industri kreatif, baru-baru ini.

"Sehubungan itu, ABPBH mahu terus menyemarakkan industri kreatif dengan menyantuni sokongan diberi peminat terhadap penggiat seni termasuk artis yang tercalon dalam pusingan awal dan akhir ABPBH34," katanya dalam satu kenyataan.

Shamshul Azree berkata, ABPBH juga memperakui bakat dan sumbangan anak seni yang menepati syarat ditetapkan Jawatankuasa Penjurian ABPBH34 untuk dicalonkan dalam kategori utama dan online acara anugerah ini saban tahun.

"Sehubungan itu, ABPBH berharap usaha menyemarakkan industri kreatif pada era pandemik ini, dan lebih penting memberi peluang pekerjaan kepada petugas belakang tabir sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam penganjuran edisi ke-34 ABPBH ini dapat diteruskan atas semangat kekitaan sesuai dengan tema tahun ini #KITABERSAMA.

"Kami juga ambil maklum mengenai sebab-sebab penarikan diri calon-calon awal dan akan mengambil langkah penambahbaikan yang sesuai bagi memastikan perkara sama tidak berulang, demi memastikan acara tahunan ini mampu menyumbang dengan lebih efektif dalam memartabatkan lagi industri kreatif tanah air," katanya.

Bertemakan #KITABERSAMA undian pencalonan awal secara rasminya ditutup, tepat jam 11.59 tengah malam tadi.

Jawatankuasa Pengelola ABPBH34 menjelaskan undian pusingan pertama bagi 14 kategori utama dan empat kategori online ABPBH34 yang berlangsung selama 24 hari mendapat sambutan amat memberangsangkan dan berjalan lancar.

Proses undian dibuat melalui laman web ABPBH 34 iaitu www.abpbh.com.my dengan pilihan undian percuma, pakej langganan BH digital dan cetak serta undian bersama peranti Xiaomi, iaitu penaja utama ABPBH 34.

Jawatankuasa Pengelola ABPBH 34 memaklumkan, proses kiraan undi bermula hari ini, bagi menentukan calon Top 5 dalam setiap kategori utama dan online yang bakal diumumkan pada 10 Oktober ini, sekali gus menjadi pusingan undian terakhir ABPBH 34.

Keputusan akhir bagi semua kategori utama dan online bakal diumumkan pada malam kemuncak ABPBH34 pada 13 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 5:15 PM