Shamshul Azree Samshir.
Shamshul Azree Samshir.
Serimah Mohd Sallehuddin


Kuala Lumpur :Penganjur Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 akan mengumumkan perincian kandungan malam kemuncak termasuk prosedur operasi standard (SOP) yang digunakan selaras ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Butiran malam kemuncak termasuk lokasi acara yang bakal disiarkan secara langsung oleh TV3 pada 13 November ini, rakan penaja dan senarai 10 artis yang mendahului undian terkumpul, bakal diumumkan pada sidang media virtual, tengah hari esok.

Sebelum itu, program hiburan sensasi, Melodi yang disiarkan TV3 secara langsung pada jam 12 tengah hari esok, bakal memaparkan segmen istimewa ABPBH 33 yang antara lain menampilkan hos acara anugerah berprestij ini dan artis tercalon.

Pengarah Jawatankuasa Penganjur ABPBH 33, Shamshul Azree Samshir yang juga Pengarang Hiburan BH berkata, BH dan Primeworks Studios (PWS) melaksanakan SOP ketat bagi memastikan malam kemuncak ABPBH 33 dilaksanakan mengikut peraturan kerajaan.

"Pelbagai persoalan dan kemusykilan berhubung penganjuran ABPBH 33 yang menerapkan amalan norma baharu bagi membantu kerajaan mengekang penularan COVID-19, akan terjawab esok.

"Butiran malam kemuncak antaranya pengacara, artis membuat persembahan dan barisan penyampai trofi akan diumumkan melalui program Melodi dan sidang media virtual.

"Selain itu, kita juga teruja berkongsi senarai 10 calon ABPBH 33 dari pelbagai kategori yang mendahului pengundian awal acara anugerah ini, setakat ini.

ABPBH 33 bakal mengumumkan butiran lanjut malam kemuncak dalam program hiburan Melodi dan sidang media virtual, esok.

"Peminat boleh melihat sendiri siapa artis terbabit dan masih ada peluang untuk mengubah senarai berkenaan berikutan proses undian berlangsung hingga 8 November ini," katanya kepada BH Online.

ABPBH 33 yang mengumumkan syarikat elektronik multinasional China, Xiaomi sebagai penaja utama, dilancarkan awal bulan ini.

Menyesuaikan diri dengan norma baharu, edisi ke-33 acara anugerah pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia ini dipromosikan melalui platform digital dengan undian secara online bermula 7 Oktober lalu.

Sebanyak 13 kategori utama dan lima kategori online dipertandingkan pada ABPBH 33 yang bertemakan #ABPBHKITA2020.

Shamshul Azree berkata, sidang media virtual boleh ditonton melalui akaun Facebook (FB) BH Online dan TV3 Malaysia, mulai jam 1.15 tengah hari esok.

"Penganjuran sidang media secara maya ini juga menjadi antara langkah diambil penganjur bagi menyesuaikan diri dengan norma baharu.

"Semua aspek keselamatan dan SOP dipatuhi sepanjang penganjuran ABPBH 33 termasuk rakaman siaran langsung Melodi dan sidang media esok," katanya.

Shamshul Azree berkata, peminat diharap terus menggunakan kuasa mereka untuk mengundi artis pilihan dengan melayari www.abpbbh.com.my.

"Seperti lazimnya, pola pengundian meningkat menjelang minggu terakhir. Ini pasti memberi kesan kepada jumlah undi yang diterima dalam semua kategori sekali gus penentuan Bintang Paling Popular," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 6:34 PM