SUASANA PRK Dun Kuala Kubu Bharu. FOTO Saifullizan Tamadi
SUASANA PRK Dun Kuala Kubu Bharu. FOTO Saifullizan Tamadi
Fahmy A Rosli


Hulu Selangor: PKR Selangor akan mempertimbang untuk menyediakan perkhidmatan bas buat pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kubu Baharu.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PKR Negeri (JPRN) Selangor Dr Yaakob Sapari berkata, inisiatif itu disasarkan buat pengundi yang berdepan kesukaran untuk pulang menunaikan tanggungjawab mereka pada 11 Mei ini.

Untuk itu, beliau memohon pengundi terbabit supaya menghubungi pihaknya bagi urusan penyediaan perkhidmatan pengangkutan.

"Kita usahakan (perkhidmatan bas) dan kita minta mereka (pengundi) hubungi kami untuk kita uruskan.

"Mana-mana pengundi ada masalah dan kesulitan umpama (mereka) di kawasan perkampungan Orang Asli, di estet... Kita akan sediakan kemudahan untuk (mereka) turun mengundi pada 11 Mei ini.

"Saya pasti petugas kami sudah bekerja keras mengenal pasti pengundi untuk turun mengundi," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama JPRN Selangor di sini, hari ini.

Sebelum ini, pemerhati rasuah ada menyifatkan cadangan menyediakan bas percuma misalnya untuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) untuk pulang mengundi pada PRK Parlimen Kuala Terengganu pada 12 Ogos lalu, menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Menurut Timbalan Ketua Jawatankuasa Pemikir Pemerhatian Rasuah Malaysia (MCW), Noor Mohamad Shakil Hameed menegaskan cadangan yang diutarakan parti politik terbabit adalah tidak wajar, selain tidak elok untuk dilaksanakan.

Noor Mohamad menasihatkan parti politik dan calon masing-masing supaya lebih peka dan sensitif dengan isu yang boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan termasuk dibatalkan keputusan pilihan raya nanti.

Teguran MCW itu sebagai reaksi kepada kenyataan Pas yang sebelum ini mencadangkan semua enak negeri terbabit dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bagi membolehkan mereka pulang mengundi pada 12 Ogos lalu.

Memetik kenyataan Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada tahun lalu, pernah dipetik sebagai berkata langkah kerajaan Kelantan itu sewajarnya menjadi ikutan negeri lain bagi meningkatkan peratusan keluar mengundi.

Tuan Ibrahim juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menjelaskan bahawa penyediaan bas percuma bukan sesuatu berunsurkan sogokan sebaliknya ia disediakan terbuka kepada semua anak Kelantan di IPT tanpa mengira parti kerana mahu membantu mereka menjalankan tanggungjawab mengundi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 6:07 PM