GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi


Seremban: Polis Kontinjen Negeri Sembilan menjalankan siasatan terperinci mengenai dakwaan aktiviti keagamaan yang mencurigakan di sebuah premis dekat Mantin.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya mengesahkan menerima satu aduan memaklumkan aktiviti di sebuah pusat aktiviti keagamaan itu pada 26 April lalu.

"Polis sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai aduan itu.

"Justeru, kami menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

"Kes ini juga disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah," katanya.

Polis turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memuat naik atau membuat hantaran di media sosial yang boleh menimbulkan kegusaran sehingga mengganggu keamanan dan ketenteraman awam.

Terdahulu kumpulan Telegram Edisi Siasat mendedahkan satu laporan polis daripada seorang lelaki yang menyertai aktiviti keagamaan di pusat berkenaan selama seminggu.

Bagaimanapun, dia keluar dari pusat itu kerana kegiatan di pusat itu dikatakan mencurigakan dan mengganggu kedaulatan Malaysia sebelum membuat laporan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 6:28 PM