ELLA ketika menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada Anugerah Bintang Popular BH 3.0 (ABPBH 3.0) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto NSTP/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
ELLA ketika menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada Anugerah Bintang Popular BH 3.0 (ABPBH 3.0) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto NSTP/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
Syafil Syazwan Jefri


ANUGERAH Bintang Popular BH (ABPBH) kembali untuk edisi ke-31 dan kali ini, pihak penganjur mahu ia kekal relevan dengan mengoptimumkan pergantungan dan penggunaan platform digital, sesuai dengan perkembangan semasa.

Pengerusi Jawatankuasa ABPBH 31 merangkap Pengarang Berita Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir berkata, langkah drastik itu adalah bagi memastikan capaiannya kepada kumpulan sasar.

“Proses undian yang dilakukan sepenuhnya melalui laman web www.abpbh.com.my serta perkongsian maklumat dengan kumpulan sasar melalui laman sosial menjadi antara langkah drastik diambil bagi memastikan capaian tinggi untuk penganjuran ABPBH kali ini,” katanya kepada Harian Metro.

Shamshul Azree berkata, menjadi matlamat ABPBH dalam setiap penganjurannya untuk memastikan terselit mesej berguna dalam tema diangkat pada tahun ini iaitu Infiniti.

Tambahnya, tema itu menepati objektif dan sasaran BH untuk memastikan legasi acara anugerah ini, terus terpelihara dan lebih gemilang setiap tahun.

Pengarang Eksekutif BH yang juga Penaung ABPBH 31, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman menyifatkan pemilihan tema Infiniti pada penganjuran ABPBH kali ini menepati rekod cemerlang BH sejak 61 tahun lalu.

“Diharapkan, tema Infiniti yang akan diserap dalam semua aktiviti, promosi dan publisiti ABPBH31 dapat membuka minda setiap daripada kita dalam mencari kecemerlangan tanpa batasan, baik dalam aspek berkarya, kerjaya dan komersial.

“Golongan artis, anak seni mahupun karyawan juga boleh menyelami takrifan istilah Infiniti dalam meningkatkan pencapaian, mutu produk dan perjuangan seni,” katanya.

Acara utama tentunya malam kemuncak ABPBH 31 yang akan disiarkan secara langsung di TV3 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Ahad, 7 Oktober 2018.

Undian untuk ABPBH31 boleh dilakukan di laman web web www.abpbh.com.my mulai 25 Ogos 2018 sehingga 25 September 2018.

Tiga belas kategori utama yang bakal dipertandingkan adalah Artis Baharu Lelaki Popular, Artis Baharu Wanita Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular, Pelakon Filem Wanita Popular, Pelakon TV Lelaki Popular, Pelakon TV Wanita Popular, Penyanyi Lelaki Popular, Penyanyi Wanita Popular, Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, Artis Komedi Popular, Artis Versatil Popular, Pengacara TV Popular, dan Penyampai Radio Popular.

Turut dipertandingkan, lima kategori online iaitu Artis Sensasi Popular, Pasangan Serasi Drama, Pasangan Serasi Filem, Instafamous Cilik Popular dan Personaliti Media Sosial Popular.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 9:21 AM