ABPBH 32 bakal berlangsung pada 22 September depan di PICC.
ABPBH 32 bakal berlangsung pada 22 September depan di PICC.
Syanty Octavia Amry


ANUGERAH Bintang Popular BH (ABPBH) edisi ke-32 kali ini memperkenalkan kategori baru membabitkan artis antarabangsa iaitu Artis Korea Popular dan Artis Indonesia Popular yang termasuk dalam senarai kategori utama.

Pengarang Hiburan BH merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 32, Shamshul Azree Samshir berkata, kategori itu diwujudkan bagi memberi penghargaan kepada artis antarabangsa yang mencipta nama di sini.

“Langkah ini dilakukan bertepatan dengan usaha memantapkan kandungan ABPBH yang bukan hanya diminati oleh peminat tempatan semata. Malah penduduk dunia menerusi penstriman, sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

ABPBH 32 bakal berlangsung pada 22 September depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan disiarkan secara langsung menerusi TV3.

Sementara itu, proses undian awal untuk memilih calon Top 5 yang bakal bersaing pada acara kemuncak bermula hari ini.

Sebanyak 13 kategori utama dipertandingkan selain lima kategori online dan pemilihan artis kegemaran kini boleh dilakukan menerusi laman web: www.abpbh.com.my.

Shamshul Azree berkata, proses undian awal akan berlangsung sehingga 14 Ogos depan.

“Calon yang bersaing perlu mempunyai produk yang dihasilkan mulai Januari 2018 hingga Disember 2018. “Bagi menambahkan lagi kehangatan awal proses undian untuk musim terbaru ini, peminat berpeluang menggandakan undian menerusi langganan BH Digital dengan membuat pembayaran menggunakan sistem DuitNow,” katanya.

ABPBH 32 membawakan tema Melangkaui Sempadan, bersama misi mengiktiraf kejayaan anak seni tempatan, bukan hanya di tanah air, malah merentasi benua.

Tema itu juga sejajar dengan kematangan akhbar BH yang berpegang kepada slogan `Wadah Pembaharuan' dalam menjadi sumber informasi dan rujukan rakyat menerusi kandungan mantap serta menarik.

Bagi menghangatkan ABPBH 32, dua siri jelajah bersama artis dan kelab peminat turut dirancang iaitu di KOMTAR JBCC, Johor Bahru pada 3 Ogos ini disusuli dengan Aman Sentral, Sungai Petani, Kedah pada 24 Ogos.

Turut dianjurkan program santai bersama kelab peminat iaitu #FANtastik dan Showcase ABPBH 32 pada 7 September depan di Eco Grandeur, Puncak Alam, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 5:33 PM