Coldplay jayakan konsert Music of The Spheres World Tour
Coldplay jayakan konsert Music of The Spheres World Tour
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Ibu Kota Kuala Lumpur terpilih menjadi persinggahan kumpulan rock terkemuka, Coldplay yang bakal mengadakan konsert buat pertama kali di Malaysia pada 22 November, bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) di sini.

Berita gembira itu diumumkan sendiri Coldplay di media sosial rasmi mereka pada pagi ini, serentak dengan pengumuman penganjurnya, Live Nation Malaysia.

"Kami sangat teruja peminat muzik akan dapat merasai pengalaman konsert secara langsung paling dinanti ini buat pertama kali di Malaysia," kata pengarah urusannya, Para R.

Bahkan, berita gembira itu turut menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sempat mengucapkan selamat datang buat Coldplay menerusi ciapan di Twitter.

Terdahulu, peminat tempatan sangat berharap kumpulan itu akan menunaikan impian mengadakan konsert di sini buat pertama kali selepas diberi bayangan Malaysia turut dipilih sebagai persinggahan.

Hanya Kuala Lumpur dan Jakarta, Indonesia sahaja kota yang sah akan menampilkan Coldplay di Asia Tenggara pada November nanti.

Turut jadi persinggahan adalah Taiwan, Jepun, dan Australia untuk konsert dinamakan Music of The Spheres World Tour itu. Penjualan tiket akan bermula pada 17 Mei ini, jam 10 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 1:19 PM