Coldplay menjayakan persembahan di SNBJ.
Coldplay menjayakan persembahan di SNBJ.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pantun 'tom yam' yang dipersembahkan vokalis Coldplay, Chris Martin mencuit hati dan menjadi tular selepas konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam kelmarin.

Ramai ternyata memuji kesungguhan Martin untuk siapkan pantun khas itu dan kegigihannya belajar bahasa Malaysia. Nyanyian selambanya itu juga cukup menghiburkan.

"Pergi ke kedai membeli sayur, masak tom yam pesan bonda, Coldplay sekarang di Kuala Lumpur, payung lagu 'favourite' anda," demikian pantunnya itu dengan iringan petikan keyboard.

"Ini sebabnya saya sayang Coldplay sangat-sangat. Mereka memang pemuzik yang tulin dan manis," demikian antara komen peminatnya.

Rutin itu seakan sudah menjadi kewajipan Coldplay setiap kali bertandang ke negara berbeza.

Pantun Pinjam 100 dipersembahkan di konsert di Jakarta, Indonesia juga sempat menjadi tular.

Pada konsert itu, hujan lebat tidak menghalang lebih 75,000 penonton terus menikmati persembahan mereka.

Bahkan momentum persembahan kumpulan popular dari Britain itu kekal konsisten sampai habis konsert tambahan pula ia penampilan pertama di Malaysia.

Penat lelah penonton yang berebut membeli tiket apabila terpaksa menunggu berjam-jam di hadapan komputer, diikuti beratur seawal pagi pada hari konsert nyata berbaloi.

Ini kerana Coldplay yang turut dianggotai Johny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion memberikan pengalaman cukup indah dengan mendendangkan 26 lagu daripada album sejak 1997 sehinggalah album terbaru berjudul Music of the Spheres.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 1:14 PM