PENGARUH Coldplay dikatakan luar biasa dan konsertnya memang dinantikan.
PENGARUH Coldplay dikatakan luar biasa dan konsertnya memang dinantikan.
Georgie Joseph

Cerita kumpulan ikonik, Coldplay bakal mengadakan konsert sulung di Malaysia pada 22 November ini umpama kemenangan besar buat peminat tegar mereka di sini.

Hakikatnya, sejak khabar angin bertiup kencang bahawa mereka akan berkunjung ke sini sempena konsert jelajah dunia Music Of The Spheres sudah menjadi perbualan hangat.

Nama Coldplay yang dianggotai Chris Martin (penyanyi), Jonny Buckland (gitar), Guy Berryman (bass) dan Will Champion (dram) itu menjadi trending atau sohor kini sejak bulan lalu lagi.

Ia sekali gus membuktikan betapa luar biasanya pengaruh kumpulan berasal dari London itu terhadap komuniti muzik dunia khususnya Malaysia. Mereka memang sudah terlalu lama dinantikan di sini.

Dalam pada itu, ketika peminat bersorak gembira mengenainya, ada juga pihak yang tidak senang dengan keterujaan itu. Alasannya kehadiran Coldplay tidak membawa faedah kepada negara.

Tolak tepi alasan mahupun dakwaan merapu yang dilemparkan mengenai kunjungan mereka ke sini. Secara faktanya terlalu sukar peluang sebegitu untuk membawa kumpulan terbabit ke sini sebenarnya.

Menjadi satu-satunya kumpulan yang terlalu besar bayaran untuk sebuah konsert, mana-mana negara khususnya Asia Tenggara pasti berlumba-lumba mahukan Coldplay memilih negara mereka untuk dikunjungi.

Justeru, apabila Malaysia terpilih menjadi persinggahan kali ini selepas lebih 25 tahun kumpulan itu ditubuhkan, getaran keterujaan dirasai peminat mereka di sini masuk akal.

Menerusi beberapa laporan tahun lalu, untuk membawa Coldplay mengadakan sebuah konsert saja menelan belanja sekitar RM9.9 juta. Manakala, purata keuntungan hasil satu konsert mereka adalah sekitar RM23.4 juta.

Jadi, bayangkan betapa besarnya kerja keras dan usaha penganjur iaitu Live Nation Malaysia menjadikan ia realiti.

Ia bukan sekadar konsert biasa, sebaliknya konsert keramat yang sangat didambakan sekian lama setiap orang.

Penulis juga pernah mendapat maklumat kasar mengenai bagaimana mekanisme untuk membawa Coldplay sebagai satu kumpulan berserta pasukan penuh mereka bagi menjayakan siri jelajah dunia.

Tidak pasti kesahihan sebenarnya bagaimana, namun kumpulan itu akan menaiki pesawat peribadi. Justeru, kos untuk sewaan parkir pesawat mereka di lapangan terbang turut diambil kira.

Berdasarkan maklumat sebelum ini, itu antara sebab kenapa sukar membawa Coldplay ke Malaysia. Difahamkan, pesawat mereka perlu diparkir di Indonesia sebelum meneruskan perjalanan ke Malaysia.

Jadi, penganjur tentunya berjaya mencari penyelesaian terbaik untuk menguruskan hal itu bagi membolehkan konsert sulung mereka di negara ini menjadi realiti.

Apapun, dari aspek muzikal itu sendiri, peminatnya dalam segenap dunia pasti tahu betapa magis dan luar biasa pengalaman berada di konsert Coldplay. Ini kerana mereka takkan memberi persembahan biasa.

Sebaliknya, konsert ditampilkan umpama satu perjalanan ke sebuah alam lain yang benar-benar menakjubkan. Serba-serbi atmosfera dalam lokasinya berlangsung akan bertukar ajaib.

Tipulah jika mana-mana peminatnya tidak kepingin merasakan sendiri pengalaman itu depan mata. Malah, yang cuma mengenali dan bukan peminat tegar pun beriya-iya ingin menyaksikannya sendiri.

Berbalik kepada 'faedah' membawa Coldplay ke Malaysia. Mungkin kedengaran klise, namun jelasnya kedatangan mereka ke sini pasti memberi impak luar biasa dalam aspek ekonomi pelancongan.

Setakat ini, pengumuman tarikh persembahan mereka di Asia Tenggara cuma Kuala Lumpur dan Jakarta saja menjadi lokasi terpilih. Sedikit rasa bertuah di situ pun sebenarnya ada walaupun beberapa tahun lalu, mereka ada singgah di negara jiran termasuk Singapura dan Bangkok.

Jadi, kelebihan untuk Malaysia bagi konsert kali ini semestinya peminat dari rantau ini hanya ada dua pilihan tempat terdekat untuk menyaksikan Coldplay.

Semestinya, peminat dari Filipina, Singapura, Thailand atau Vietnam misalnya enggan melepaskan peluang membeli tiket konsert itu. Kemudian disusuli dengan menempah tiket penerbangan dan penginapan di Malaysia.

Dengan kehadiran ribuan peminat dari luar negara itu saja sudah pasti mampu menjana ekonomi pelancongan secara tidak langsung. Tidak ketinggalan, ia memberi peluang sektor pelancongan kita lebih dikenali lagi.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 7:00 AM