Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Walaupun pintu akan dibuka pada jam 5 petang, seawal jam 7 pagi, perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sudah dibanjiri ratusan peminat yang berbaris untuk menonton konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur, malam ini. 

Peminat dari Batam, Indonesia yang dikenali sebagai Dea berkata, dia menyesal tiba di situ kira-kira jam 10 pagi kerana barisan sudah panjang di bahagian pintu masuk kawasan 'Standing Zone'.

"Menyesal pula saya datang jam 10 pagi. Patut datang jam 8 pagi begitu. Terkejut saya bila sampai sudah panjang sangat barisannnya.

"Saya memilih untuk ke konsert di Malaysia berbanding di Jakarta, Indonesia kerana lebih murah kosnya. Saya cuma naik feri dari Batam ke Johor kemudian naik bas ke Kuala Lumpur," katanya kepada Harian Metro.

Menurut seorang pengawal keselamatan yang enggan dikenali, dia yang tiba jam 7 pagi untuk memulakan tugas terkejut apabila ramai sudah berbaris.

"Sudah beratus juga sampai seawal itu. Begitu juga dengan barisan untuk khemah menjual cendera hati," katanya.

Kira-kira jam 11 pagi, jumlah yang berbaris naik berganda di mana mereka sanggup berpanas dan duduk atas jalan tar. Ada yang berpayung dan membawa kerusi lipat.

Dianjurkan Live Nation Malaysia, terdahulu, Coldplay mengadakan konsert di Perth, Australia selama dua hari iaitu pada 18 dan 19 November sebelum meneruskan siri jelajah ke negara ini.

Mereka tiba di sini awal pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 11:52 AM