Kaka bersama arwah ibu
Kaka bersama arwah ibu
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi, Kaka Azraff berkongsi berita duka pemergian ibu tercinta, Redida Aziz yang meninggal dunia pagi ini akibat serangan jantung.

Redida yang meninggal dunia pada usia 64 tahun ditahan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang sejak Jumaat lalu dan menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 9.25 pagi.

"Mama ditahan di wad tak sampai dua hari, sejak Jumaat malam yang lalu selepas diserang serangan jantung di rumah. Jadi, Mama dimasukkan ke zon kritikal.

"Sebelum ini, arwah tak pernah kena serangan jantung. Cuma, dia pernah diserang 'minor stroke' yang menyebabkannya dementia (nyanyuk) selain menghidap diabetes.

"Jadi, dua tahun kebelakangan ini, ingatan Mama pun tak kuat sangat. Bulan lalu, ketika Ramadan, Mama pernah dimasukkan ke hospital dan saya sempat menjaganya," katanya kepada Harian Metro.

Kaka yang kini masih berada di hospital turut meluahkan rasa syukur kerana pemergian ibunya dipermudahkan oleh Allah.

"Saya rasa bersyukur kerana semuanya dipermudahkan. Perjalanannya sangat mudah dan tidak terlantar di katil dan sebagainya. Itu yang paling saya takuti.

"Saya tahu, Mama berada di tempat lebih baik sekarang dan dah tak sakit. 16 Mei ini adalah hari ulang tahun kelahirannya," katanya.

Jenazah akan dibawa ke surau di kawasan kediaman keluarga Kaka di Teluk Panglima Garang dan akan dikebumikan di tanah perkuburan kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 12:13 PM