EZAD Lazim
EZAD Lazim
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi, Ezad Lazim ditahan di Hospital Putrajaya selepas diserang gastrik kronik (Gerd), pada malam semalam.

Isterinya, Zeana Ramli ketika dihubungi berkata, suaminya menunjukkan gejala awal apabila mengalami muntah-muntah dan tidak lama kemudian, diserang panik.

"Semalam, selepas Maghrib, dia mula muntah-muntah kerana makan durian. Selepas itu, dia diserang 'panic attack' dan mula rasa kebimbangan (anxiety) yang tak dapat dikawal.

"Dia risau juga sebab hari ini, sepatutnya dia mendapat suntikan kedua vaksin di Putrajaya. Jadi, sesi pengambilan vaksin pun terpaksa ditunda.

"Saya bawa dia ke hospital sekitar jam 11 malam semalam. Tapi, doktor tak benarkan saya menunggu dan disuruh pulang," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Zeana, keadaan suaminya pada awalnya tidak ada sebarang masalah memandangkan kali terakhir Ezad diserang Gerd adalah pada 2018.

"Ezad, sebelum itu ke Gua Musang untuk kerja-kerja pertanian. Dia ada surat kebenaran merentas untuk tujuan pertanian dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

"Ketika di sana, dia mencari benih untuk beberapa tanaman sebab kami merancang untuk mengerjakan dusun berikutan kerja-kerja seni pun tak dapat dijalankan dalam masa pandemik sekarang. Jadi, ada juga dia bawa balik buah durian dari sana," katanya.

Hari ini, Ezad masih lagi ditahan dan tidak dibenarkan pulang untuk mengelakkan risiko lain.

"Doktor beritahu kalau bawa pulang, risiko akan dihadapi adalah kematian memandangkan asid dan gula dalam darahnya juga agak tinggi.

"Saya jadi risau sebab dalam situasi Covid-19 seperti sekarang, tak dapat pula nak menemaninya di hospital. Mulalah macam-macam perkara bermain dalam fikiran saya.

"Apapun, saya mohon doakan semuanya dipermudahkan untuk suami saya dan dia diberikan kesembuhan segera," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 11:46 AM