XPDC
XPDC
Ridzuan Abdul Rahman


Muar: Pemain bass kumpulan XPDC, Zuar tidak dapat meneruskan temubual kerana terlalu sedih dengan kematian vokalis mereka Mael.

Zuar yang ditemui selepas selesai majlis pengebumian jenazah Mael di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6 di sini mulanya, tenang bercerita mengenai pembabitan awalnya dalam XPDC bersama Mael dan anggota asal lain.

"Saya mula terbabit pada 1990 menerusi album Darjah Satu. Saya diperkenalkan kepada Mael oleh komposer Allahyarham JS Kevin.

"Semasa zaman bujang, kami pernah tinggal serumah. Arwah seorang yang baik. Orang nampak dia kasar, tapi dia sebenarnya baik.

"Saya pernah keluar dari XPDC suatu ketika dulu dan kemudian masuk semula kerana hubungan rapat ini," katanya.

Menurutnya, perkara yang paling diingatinya ialah sifat Mael yang suka bersedekah.

"Dia banyak bersedekah. Amalan dia banyak bersedekah," katanya yang mula sebak dan menangis sehingga temubual terpaksa dihentikan.

Zuar XPDC
Zuar XPDC

Selain Zua, XPDC kini turut dianggotai oleh Jeff (gitar) dan Amy (dram).

Mereka memahami situasi kesihatan Mael yang tidak menentu sebelum ini.

XPDC akan beraksi dalam SoundValley Festival yang akan berlangsung pada 6 Mei ini di MAEPS, Serdang bermula jam 5 petang hingga 11 malam.

Pengurus XPDC, Yazid berkata, persembahan mereka tetap akan berlangsung seperti dirancang dengan penampilan penyanyi gantian.

"Kami merasa sedih dan terkesan dengan pemergian Mael. Ia satu kehilangan besar buat XPDC dan peminat. "Saya akan berbincang lanjut dengan penganjur, Panggung Asia dan RSVP Media Sdn Bhd. Konsert ini juga akan berlangsung percuma berbanding sebelum ini yang bertiket.

"Mereka juga membayangkan akan menyediakan tabung dan peminat yang hadir boleh menghulurkan sumbangan dimana wang ini akan diserahkan kepada anak Allahyarham," katanya.

Konsert ini turut menampilkan ramai artis terkenal seperti Aina Abdul, Lah Ahmad, Boboy, Ashtin, Xpose Band, Kmy Kmo, 6ixth Sense, Chombi dan Khalifah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2023 @ 4:23 PM