Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Putrajaya: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) akan bekerjasama dengan Media Prima Berhad (Media Prima) untuk menjayakan penganjuran Karnival Jom Heboh (KJH) pada masa depan.

Timbalan Menterinya, Datuk R Ramanan berkata, ini disebabkan penganjuran KJH sangat rapat dengan Kuskop kerana memberikan peluang kepada peniaga dan usahawan di negara ini untuk membuat pemasaran produk mereka.

"Dengan penganjuran (KJH) ini, ia telah memberikan mereka (usahawan) satu ruang. Saya akan membawa cadangan di peringkat kementerian untuk memberikan apa-apa bantuan yang diperlukan oleh Jom Heboh bagi menjayakan program ini secara besar-besaran.

"Ini adalah satu platform untuk meningkatkan prestasi dan pendedahan untuk usahawan sedia ada," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di KJH Edisi Raya, di sini, hari ini.

RAMANAN menyampaikan pek makanan nasi kari ayam yang disumbangkan oleh syarikat produk rempah kari Baba's. FOTO Aizuddin Saad
RAMANAN menyampaikan pek makanan nasi kari ayam yang disumbangkan oleh syarikat produk rempah kari Baba's. FOTO Aizuddin Saad

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Mengulas lanjut, Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, antara bantuan yang boleh diberikan menerusi penganjuran KJH seperti pembiayaan dana atau geran.

"Ada pelbagai bantuan yang kita boleh beri. Di bawah Kuskop, kita ada banyak agensi yang fokus kepada keusahawanan.

"Kalau kita lihat ada Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawa Niaga (Tekun), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Corporation Malaysia (SME Corp), SME Bank dan sudah tentu, Bank Rakyat juga ada.

"Kita ada bantuan agensi di sana untuk membantu rakyat melalui program Jom Heboh yang dijayakan oleh Media Prima," katanya.

Katanya, beliau akan bekerjasama rapat dengan Media Prima bagi melihat bantuan yang boleh diberikan mengenai penganjuran KJH itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 3:28 PM