Arry menjayakan Konsert Tribute To ‘Legend’ Mael XPDC
Arry menjayakan Konsert Tribute To ‘Legend’ Mael XPDC
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Persoalan sama ada Arry Fahrenheit atau Zan DekNey yang bakal mengisi posisi vokalis XPDC yang ditinggalkan oleh Allahyarham Mael belum lagi terjawab.

Pengurus XPDC, Yazid berkata, prestasi kedua-dua mereka masih dinilai setakat ini dan akan diputuskan selepas mengambil kira semua faktor.

"Kedua-dua mereka sudah beraksi dengan XPDC menerusi Konsert Tribute To 'Legend' Mael XPDC di Amanjaya Sungai Petani pada 5 Mei dan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang, Sabtu lalu.

"Kedua-duanya berjaya membuktikan kehebatan yang ada dengan nyanyian mantap dan menghiburkan. Masing-masing ada keistimewaan tersendiri.

"Kehadiran XPDC juga ditunggu peminat apabila berjaya menarik kehadiran 5,000 penonton di Sungai Petani, manakala MAEPS pula 8,000 penonton," katanya kepada Harian Metro.

Zan menyanyikan lagu-lagu XPDC
Zan menyanyikan lagu-lagu XPDC

Menurutnya, buat masa ini jenama Konsert Tribute To 'Legend' Mael XPDC akan dikekalkan dan ia akan terus menjadi medan penilaian bakat mereka.

"Kami akan tengok pada persembahan serta kawalan pentas kerana ada perbezaan antara persembahan karnival dan konsert. Mereka perlu kuasai aspek ini.

"Apapun prestasi mereka untuk dua show ini memang bagus dan padu. Kedua-dua mereka akan terus ditampilkan pada konsert seterusnya," katanya.

Bercerita mengenai konsert di Maeps, Yazid terharu dengan sambutan hebat yang diberikan peminat.

"Pemuzik terkenal seperti Kid Search turut hadir sama menyokong. Anak-anak dan adik arwah Mael iaitu Syed Ali pun hadir.

"Konsert bermula jam 10 malam. Momen yang ditampilkan iaitu intro mikrofon di tengah-tengah pentas mewakili Mael dengan lampu difokuskan ke arah itu sangat hiba.

"Lagu Titian Perjalanan dimainkan dengan nyanyian penonton. Memang sedih hingga ada yang menangis," katanya.

Menerusi konsert ini, Zan dan Arry menyanyikan lima lagu setiap seorang dan kemudian bergabung dalam dua lagu terakhir iaitu Kita Pengyu dan Semangat Yang Hilang.

"Pemergian Mael sangat dirasai peminat sehinggakan jualan baju konsert tribute habis dalam masa 40 minit.

"XPDC akan beraksi di Plaza Angsana Johor Bahru pada 27 Mei ini dan saya jangka sambutan pasti hebat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 3:09 PM