MAEL seorang penyanyi yang ada style tersendiri.
MAEL seorang penyanyi yang ada style tersendiri.
Ridzuan Abdul Rahman


Enam hari selepas meraikan Aidilfitri, penggiat media terutama di unit hiburan mula bertugas untuk majlis akad nikah penyanyi Aiman Tino dan pasangannya, Syarah Haifa yang berlangsung di sebuah lokasi di ibu negara.

Sejajar dengan tuntutan agama yang menggalakkan perkahwinan bagi mengelakkan perkara yang tidak elok, tumpuan penuh diberikan oleh media bagi meraikan mereka menerusi paparan berita yang tersiar.

Bagaimanapun, menjelang malam, suasana bertukar gempar dan kecoh apabila pengurus XPDC iaitu Yazid memuat naik berita kematian mengejut penyanyi mereka iaitu Mael.

Status ini mula tular apabila dikongsi oleh pelbagai pihak terutama peminat fanatik XPDC di media sosial masing-masing.

Malah telefon penulis sendiri tidak berhenti-henti berdering daripada mereka yang mahu kepastian kesahihan berita itu.

Ternyata Allahyarham Mael atau nama sebenarnya Syed Ismail Syed Ibrahim dan XPDC bukan calang-calang kerana mereka adalah satu nama besar dalam industri seni tanah air.

Peminat daripada pelbagai era dan generasi ternyata menggemari lagu mereka yang boleh dianggap malar segar sehingga kini.

Walaupun bukan semua, mereka pasti boleh menghafal beberapa lirik lagu kumpulan ini.

Keistimewaan XPDC sudah tentunya bergantung kepada suara Mael yang unik dan tersendiri.

Malah Datuk M Nasir dalam komennya berkata, Mael bukan sahaja seorang legenda disegani, malah banyak berjasa buat dunia muzik rock.

Baginya Mael tiada galang ganti dan sukar mencari penyanyi yang boleh menggantikan tempatnya. Ia tidak akan sama. M Nasir juga tidak menolak impak dibawakan Mael terlalu besar untuk dunia seni tanah air dan dia bertaraf legenda.

Perkara ini wajar diakui semua pihak. Pemain gitar terkenal Jo Branko yang kali terakhir bekerjasama dengan Mael menerusi Konsert Barbarik Pentas Keras juga berpandangan serupa.

Baginya pemergian Mael sama seperti industri kehilangan Allahyarham JS Kevin, Loloq dan Andy Rahman.

"Dia memang istimewa. Buat apapun orang tak kisah. Tak menyanyi sangat pun tak kisah janji dia ada di atas pentas. Untuk dapat kedudukan begitu memang susah.

"Mael pernah buktikan yang dia seorang penyanyi yang ada style tersendiri. Suara dia tiada pada orang lain. Kalau tengok suaranya tersendiri dan tiada orang dapat tiru.

"Nyanyiannya ala-ala Bob Dylan, macam malas tapi sedap. Cara nyanyiannya banyak tekan pada lirik. Dia faham lirik dan cerita. Setiap kali dia punch ayat memang berkesan," katanya.

Pemain bass XPDC, Zua sebelum ini juga sering bercerita ayat yang sama dengan Jo.

Katanya, mereka menyedari keadaan kesihatan Allahyarham yang kurang baik sebelum ini.

"Kami sekarang hanya bergantung pada Mael. Dia kata boleh menyanyi, kami akan on dan kalau tak boleh kami akan berhenti.

"Ikut mood dialah kerana dia penyanyi utama. Tapi setakat ini dia tak menghampakan kami dan tetap datang show.

"Sebenarnya peminat hanya nakkan Mael hadir ke lokasi. Dia tak payah menyanyi sangat dan mereka yang akan menyanyi. Itulah keistimewaan Mael," katanya ditemui pada sidang media SoundValley Festival pada Mac lalu.

Sudah tentu pemergian mengejut Mael diratapi oleh Zua dan anggota lain iaitu Jeff (gitar) dan Amy (dram), namun perjuangan seni mereka perlu diteruskan.

Mereka tetap akan beraksi dalam festival yang akan berlangsung pada 6 Mei ini di Maeps, Serdang bermula jam 5 petang hingga 11 malam.

Penganjur juga akan menyediakan tabung dan peminat yang hadir boleh menghulurkan sumbangan apabila wang ini akan diserahkan kepada anak Allahyarham.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 6:00 AM