XPDC
XPDC
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Kami sekarang hanya bergantung pada Mael. Dia kata boleh menyanyi, kami akan 'on' dan kalau tak boleh kami akan berhenti.

"Ikut mood dialah kerana dia penyanyi utama. Tapi setakat ini dia tak menghampakan kami dan tetap datang show."

Demikian kata Zuar, pemain bass kumpulan XPDC mengenai penyanyi bersuara unik ini yang dibelenggu masalah kesihatan.

Zuar berkata, dia dan anggota lain iaitu Jeff (gitar) dan Amy (dram) memahami situasi kesihatan Mael yang tidak menentu.

"Sebenarnya peminat hanya nakkan Mael hadir ke lokasi. Dia tak payah menyanyi sangat dan mereka yang akan menyanyi.

"Itulah keistimewaan Mael. Disember lalu, kami beraksi di Pesta Pulau Pinang. Yang hairannya peminat yang datang bukan golongan otai tapi peminat muda.

"Saya sangka konsert ini dibanjiri oleh peminat berusia sahaja. Mungkin mereka kenal kami menerusi media sosial. Malah mereka agak fanatik apabila turut sama menyanyi," katanya.

Dalam perkembangan lain, XPDC akan beraksi dalam SoundValley Festival yang akan berlangsung pada 6 dan 7 Mei ini di MAEPS, Serdang.

Program anjuran bersama Panggung Asia dan RSVP Media Sdn Bhd ini turut menampilkan ramai artis terkenal seperti Aina Abdul, Lah Ahmad, Boboy, Ashtin, Xpose Band, Kmy Kmo, 6ixth Sense, Chombi dan Khalifah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 3:17 PM