SANUSI  merasmikan Penjenamaan semula pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan di Pusat Mempelam Kedah hari ini. FOTO Wan Nabil Nasir
SANUSI merasmikan Penjenamaan semula pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan di Pusat Mempelam Kedah hari ini. FOTO Wan Nabil Nasir
Noorazura Abdul Rahman


Yan: Kedah kehilangan pendapatan kira-kira RM100 juta setahun di kawasan tanah sawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) selepas terdapat kawasan tertentu boleh dibangunkan untuk tujuan perumahan, industri dan komersial.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata ketika ini terdapat kira-kira 10,000 hektar tanah sawah MADA yang dimasukkan di bawah Rancangan Tempatan Daerah (RTD) di daerah untuk pembangunan perumahan.

Selain itu katanya, sebanyak 400 hektar lagi adalah untuk industri serta komersial.

"Jadi kalau kita ikut RTD, kita akan dapat hasil yang lebih banyak, cukai tanah, cukai kemajuan, cukai pintu, caj air, sekarang air masuk ke bendang free (percuma), kalau air pergi ke rumah atau kilang kita boleh caj, itulah pendapatan yang kita hilang untuk mengekalkan kawasan padi.

"Kita kehilangan yang sudah ada dalam RTD sahaja, realistik kita lepas RM100 juta setahun, dalam lima hingga 10 tahun akan datang kerajaan negeri jangka saiz ini akan bertambah jadi kita mohon kepada kerajaan Persekutuan untuk melihat perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penjenamaan Semula Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi yang menyatakan kerajaan Persekutuan bersetuju pada dasarnya dengan cadangan supaya status tanah di kawasan MADA dipindah kepada pembangunan industri dan komersil.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata kawasan tanah berkenaan adalah kawasan yang produktif dan aktif dari segi tanaman padi, namun mendapat permintaan tinggi untuk dibangunkan bagi tujuan lain.

Katanya, kerajaan negeri kehilangan pendapatan yang lebih besar dengan mengekalkan kawasan tanah sawah berkenaan untuk tanaman padi dan memohon bantuan fiskal daripada kerajaan Persekutuan di atas kehilangan pendapatan itu.

"Kawasan itu dibangunkan dengan kos yang sangat tinggi buat ban, macam-macam lagi untuk pengairan kawasan padi itu. Ini pertimbangan oleh Persekutuan, saya harap benda itu diluluskan.

"Bukan Perdana Menteri lulus keluarkan tanah itu, tanah tersebut tak (tidak) tanam padi, tidak. Benda ini Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan kaji lagi, saya harap permohonan fiskal itu dipertimbangkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 3:38 PM