Zaara Talita


Kuala Lumpur : Pelakon popular era 1990-an, Badrul Muhayat, 55, bertemu jodoh buat kali ketiga apabila melangsungkan pernikahan dengan Norhayati Zulkapli di Masjid Al Hidayah, Sentul, di sini, semalam.

Badrul berkata, dia memilih tarikh lahirnya semalam untuk diijabkabul sebagai satu simbolik. Dia juga enggan menangguhkan masa memandangkan dia dan isteri sudah berusia.

"Saya sebenarnya mengejar masa. Sebelum ini, sibuk dengan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kemudian anak-anak sudah mula bersekolah.

"Jadi, masa terlalu cepat dan suntuk, disebabkan itu kami buat keputusan tidak mahu menangguh majlis pernikahan.

"Saya memilih tarikh lahir untuk diijabkabulkan sebagai satu simbolik. Ini kerana saya tidak tahu ajal dan maut di tangan Allah pada usia sekarang," katanya.

Badrul atau nama sebenarnya, Badrul Muhayat Ahmad Jailani bagaimanapun enggan mendedahkan secara terperinci mengenai perkenalan dengan isterinya.

"Insya-Allah saya akan memperkenalkan isteri kepada semua pada majlis resepsi nanti. Saya tidak memuat naik sebarang gambar dalam media sosial, namun tidak sangka berita ini boleh tersebar.

"Saya tidak berniat merahsiakan majlis pernikahan kerana merancang mahu mengadakan majlis resepsi pada Jun atau Julai depan.

"Jadi, jika hendak tahu lebih lanjut bagaimana bibit pertemuan dan tempoh perkenalan, semuanya boleh diajukan pada majlis itu nanti," katanya.

Badrul berkata, isterinya adalah graduan Universiti of Liverpool, England. Mereka berkenalan selama empat bulan sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.

Badrul pernah mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali, namun berakhir dengan penceraian.

Hasil perkahwinan itu dia memiliki dua anak berusia 14 dan 16 tahun yang kini menetap bersama bekas isterinya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 2:55 PM