RADZI dan isteri tampil memberi penjelasan di Facebook. FOTO FB Dr Radzi Jidin
RADZI dan isteri tampil memberi penjelasan di Facebook. FOTO FB Dr Radzi Jidin
Ilah Hafiz Aziz


SELEPAS 13 tahun hidup bersendirian, pelakon, Badrul Muhayat, 55, akhirnya mengambil keputusan menamatkan zaman duda dengan wanita pilihan hati, Norhayati Zulkaply pada 18 April lalu.

Bahagia melayari bahtera rumah tangga, Badrul atau nama sebenarnya Badrul Muhayat Ahmad Jailani kini dalam fasa berbulan madu selain saling mengenali hati budi masing-masing.

Berhasrat meraikan perkahwinan yang baharu dibina bersama ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat, Badrul berkata, dia bakal mengadakan satu majlis resepsi tahun ini.

"Sepatutnya majlis resepsi kami diadakan pada September lalu, tapi disebabkan kekangan masa kami terpaksa menangguhkannya.

"Saya sekarang ini sibuk dengan penggambaran, manakala isteri pula menguruskan perniagaan. Jadi, kami masih mencari tarikh sesuai.

"Insya-Allah jika tiada aral melintang kami mengadakan majlis resepsi pada Disember depan," katanya.

Enam bulan bergelar suami, Badrul mengaku berat badannya semakin naik dan bersyukur apabila kehidupannya kini semakin terurus.

"Kalau nak dikira saya sudah bergelar duda lebih sedekad. Jadi, apabila ada isteri di sisi, sudah pasti kehidupan saya lebih lancar, makan terhidang dan pakaian pun tersedia dengan elok.

"Kalau nak tahu sebelum ni saya kurus sangat, tapi selepas kahwin berat badan saya terus naik. Ini menunjukkan makan dan minum terjaga.

"Kalau dulu masa bujang saya sendiri, setiap minggu adik saya datang jenguk, malah ibu pun selalu telefon nak pastikan saya okey," katanya pada majlis tayangan perdana filem Cerana Biduk Bu Merah, baru-baru ini.

Apa yang mencuri perhatian adalah kehadiran isterinya yang memeriahkan acara itu sebagai tanda sokongan.

Bercerita mengenai detik perkenalan bersama isteri, pelakon berusia 55 tahun itu memberitahu, pembabitannya dalam sebuah jenama kopi mengeratkan hubungan mereka.

"Sebenarnya saya kenal isteri saya pun pasal kopi. Waktu itu jiran saya syorkan jenama ini ketika saya menjalani penggambaran drama untuk TV3.

"Saya terus suka aroma dan rasanya. Kebetulan isteri saya adalah pengedar produk itu. Dari situ kami berkawan seterusnya mengambil keputusan bernikah selepas empat bulan kenal," katanya.

Badrul pernah melalui dua perkahwinan, namun jodohnya tidak berpanjangan.

Hasil perkahwinan lalu, pelakon itu dikurniakan dua anak, Nur Delisha, 16 dan Badrul Hidayat, 13, yang kini tinggal dengan bekas isteri.

Sementara itu, mengenai Cerana Biduk Bu Merah yang mula ditayangkan semalam, Badrul berharap watak antagonis dibawakan tidak membuatkan penonton benci kepadanya.

"Dalam filem yang turut dibintangi Fasha Sandha, Pekin Ibrahim dan Wan Hanafi Su ini saya jadi penjahat iaitu terbabit dalam sindiket 'menjual' wanita.

"Kalau sampai penonton marah dan benci watak itu tidak mengapa. Itu bermakna tanggungjawab saya dah dilunaskan, cuma jangan benci saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 4:22 PM