SHEILA imbau perjalanan seni.
SHEILA imbau perjalanan seni.
Ramlah Zainal


SELEPAS enam tahun tanpa konsert skala besar, Ratu Jazz, Datuk Sheila Majid kembali mengubat kerinduan peminat menerusi Konsert Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Lebih bermakna, konsert ini mengimbau kembali nostalgia peminat ketika Sheila mengadakan konsert mega pertamanya di Dewan Merdeka, PWTC (kini WTCKL) pada 1988.

Menurut Sheila yang tampil anggun dengan busana dari pereka terkenal Michael Ong, ketika itu dia masih muda dan tiada pengalaman berkomunikasi dengan penonton.

"Masa tu saya muda, pakai skirt pendek dan melompat-lompat. Saya berasa ketika itu, masih belum berpengalaman untuk berinteraksi dengan penonton.

Perkara yang berubah sekarang, saya sudah semakin yakin dengan 'direction' muzik dan lebih mahir berinteraksi dengan penonton," katanya.

Bagai dijangka, konsert berdurasi lebih dua jam itu mendapat sambutan hangat dari kira-kira 3,000 peminat setianya dari pelbagai lapisan usia dan golongan yang berkumpul untuk menonton persembahannya pada malam itu.

Pada usia 58 tahun, ternyata, stamina ibu kepada empat cahaya mata ini sangat hebat kerana berjaya menampilkan persembahan penuh bertenaga.

Ketika ditemui selepas konsert, Sheila berkata, sebagai penghibur yang sudah berkecimpung dalam bidang seni lebih empat dekad lalu, dia sangat menjaga aspek stamina dengan bersenam terutama jika terbabit dengan konsert skala besar seperti itu.

"Ya, saya sudah tua dan sebagai penghibur saya mesti 'fit'. Kalau ada show, waktu lepas subuh dah kena pergi lapangan terbang dan show pula pada malam yang sama. Jadual saya tidak menentu. Saya kerja macam nak gila sampai Januari dan lepas tu saya rehat selama dua bulan.

"Kalau penat nanti suara tak sampai dan menyanyi adalah periuk nasi saya. Contohnya pada malam ini, saya perlu menyampaikan sebanyak 20 lagu dan ketika sesi latihan kena menyanyi dua kali. Bayangkan jika saya tidak 'fit'?" katanya.

Konsert istimewa yang dibawakan khas oleh JioBuddy, Altus Prohouse dan rakan produksi, Level Up ini menampilkan kelainan dengan mengetengahkan konsep 'big band' dari segi susunan muziknya.

Ia diterajui pengarah muzik, Mac Chew dengan menampilkan seramai 23 pemuzik dengan 13 pemain horns serta tujuh pemuzik band.

Pada malam itu, Sheila menghiburkan peminat menerusi rangkaian lagu iaitu Ada-Ada Saja, Embun, Pengemis Muda, Emosi, Hasrat Cinta, Ku Mohon, Rahsia Hati, Gerimis Semalam, Kepergianmu dan Di Suatu Persimpangan. Selain itu, lagu runut bunyi untuk filem Juang berjudul Wira Hati yang ditujukan khas buat petugas barisan hadapan memerangi COVID-19.

Selaras dengan konsep big band yang diketengahkan dalam konsert itu, Sheila juga menyampaikan lagu Jauh-Jauh hasil ciptaan komposer yang juga mendiang Jimmy Boyle sebagai penghargaan kepada pemuzik legenda yang juga perintis muzik 'big band' tempatan.

Segmen tribute diteruskan dengan dendangan rangkaian lagu popular milik Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma yang juga idolanya menerusi rangkaian lagu medley iaitu Aduh Sayang, Getaran Jiwa, Bunyi Gitar, Tiru Macam Saya, Manusia dan Legenda.

Sheila juga mengajak penonton untuk menyanyi dan menari dengannya ketika menyampaikan lagu Dia dan Warna sekali gus menghangatkan malam itu.

Persembahan Sheila mencapai kemuncaknya dengan rangkaian lagu popularnya iaitu Ku Mohon, Cinta Jangan Kau Pergi, Antara Anyer & Jakarta, Aku Cinta Padamu dan Sinaran sekali gus mengakhiri konsertnya pada malam itu.

Antara rakan artis yang hadir memberi sokongan termasuklah Ziana Zain, Anuar Zain, Misha Omar, Dayang Nurfaizah dan Nur Fazura.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2023 @ 6:45 AM