SWEET Charity menghormati dan bertolak ansur antara satu sama lain.
SWEET Charity menghormati dan bertolak ansur antara satu sama lain.
Ramlah Zainal


MESKIPUN sudah bergerak solo dan ada anggota yang membawa haluan sendiri, kumpulan legenda Sweet Charity sebenarnya tidak pernah berpecah dan masih bersama dalam satu kumpulan.

Menurut papa rock Datuk Ramli Sarip, 70, selaku vokalis kumpulan itu, hubungannya dengan semua anggota kumpulan Sweet Charity tetap baik sampai sekarang.

Malah, dia juga sering mempromosikan rangkaian lagu Sweet Charity dalam persembahan solo yang dijayakannya.

"Hubungan kami tetap baik kerana saya sudah menganggap mereka seperti keluarga sendiri. Saya juga sentiasa mendoakan yang terbaik untuk kumpulan Sweet Charity. Malah, saya juga turut membantu jika mereka memerlukan bantuan.

"Kami jarang berjumpa kerana saya sudah bergerak sendiri dan menjadikan ia kerjaya sepenuh masa. Manakala, anggota lain juga ada kerja masing-masing. Ada yang bekerja di syarikat swasta dan hospital.

"Pemain gitar, Rosli Mohalim juga bermain di kelab dan ada kumpulan 'busking' sendiri dan saya juga menghormati keputusannya itu,"katanya kepada Harian Metro.

Ramli ditemui pada sidang media Konsert Berita Gempa Sweet Charity di sebuah hotel di sini, semalam.

Hadir sama, Rosli Mohalim. Manakala, dua lagi anggota Sweet Charity iaitu Rahman Sarbani (drum) dan Ahmad Jaafar (vokalis dan pemain keyboard) tidak hadir pada sidang media berkenaan.

Mengenai tarikan konsert pula, kata Ramli, ia akan mengimbas nostagia peminat menerusi rangkaian 25 lagu-lagu popular Sweet Charity seperti Kamelia, Teratai, Jangan Tunggu Lama-Lama, Sejuta Wajah selepas 12 tahun mereka tidak beraksi bersama di pentas.

"Alhamdulillah, saya masih dikurniakan Allah kesihatan yang baik untuk terus menyanyi bersama Sweet Charity dalam konsert ini. Peminat juga tidak perlu bimbang mengenai kesihatan dan stamina tiga anggota lain untuk beraksi dalam konsert ini kerana semangat pemuzik ini lain bila mahu buat konsert. Contohnya, Rosli baru pulih dari serangan angin ahmar dan insya-Allah kami akan berganding bahu untuk memberikan yang terbaik pada konsert ini nanti.

"Selain lagu popular yang juga permintaan dari peminat, kami juga akan menyampaikan tiga hingga empat lagu yang tidak pernah dipersembahkan dalam konsert sebelum ini,"katanya.

Konsert Berita Gempa bakal menjelajah ke seluruh negara bermula dengan destinasi pertamanya Johor Bahru. Menyusul selepas itu, mereka akan ke Sabah, Miri, Langkawi dan diakhiri di Kuala Lumpur.

Nama Konsert Berita Gempa ini juga sempena judul album terakhir Sweet Charity sekali

gus penghargaan pada album klasik terbabit.

Konsert Berita Gempa Sweet Charity yang dibawakan Megatix Malaysia akan berlangsung di Arena Larkin, Johor Bahru pada 29 Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 6:45 AM