SWEET Charity bakal temui peminat dengan siri jelajah bermula di Johor Bahru. - FOTO Rohanis Shukri
SWEET Charity bakal temui peminat dengan siri jelajah bermula di Johor Bahru. - FOTO Rohanis Shukri
Ridzuan Abdul Rahman


BERITA Gempa yang tersebar berkenaan kumpulan rock legenda Sweet Charity ternyata menggembirakan peminat.

Apa tidaknya, mereka akan kembali beraksi di atas pentas besar selepas kali terakhir melakukannya 11 tahun lalu.

Datuk Ramli Sarip selaku penyanyi, Rosli Mohalim (gitar), Ahmad Jaafar (AJ) (keyboard) dan Rahman Sarbani (dram) akan tampil dengan kehebatan masing-masing menerusi Konsert Berita Gempa di Arena MBJB, Johor Bahru pada 29 Julai nanti.

Ramli, 70, berkata, bukan tawaran lumayan yang menjadi tarikan untuk mereka beraksi dalam konsert yang ditunggu-tunggu ramai ini.

"Bukan semua itu jadi ukuran. Tapi detiknya yang mana kalau tak silap saya, Sweet Charity permulaannya tahun 1969 dan sehingga 10 tahun selepas itu baru ditawarkan merakam album pada 1978 dan kini kami sudah lebih 50 tahun dalam industri muzik.

"Ini bukan satu 'tribute' tapi satu perjalanan yang kita nak kongsi dengan peminat dan juga pencinta seni mengenai perjalanan Sweet Charity. Kita berhenti seketika sebelum Covid-19 di mana Rosli diserang angin ahmar ringan.

"Alhamdulillah, dia dah 90 peratus okey dan masih boleh buat persembahan yang terbaik. Selain itu AJ juga pernah alami sedikit masalah jantung, begitu juga Rahman," katanya.

Menurutnya, mereka tidak menyepi dan aktif dengan band sendiri.

"Masing-masing ada projek tertentu tapi ini satu projek istimewa kerana dah sampai waktunya untuk kita bergabung. Kita tak tahu sampai bila kita semua masih mampu lagi.

"Kadangkala kehendak ada tapi kemampuan tak sampai. Namun saya tengok semua anggota Sweet Charity ada sentuhan berbisa lagi.

"Saya rasa kita nak jadikan sesuatu yang adil kepada peminat. Walaupun dua anggota iaitu Syed Hassan dan Masrom dah meninggal dunia, tak bermakna kita tak boleh buat apa-apa. Itu dah sampai waktunya. Tapi sebagai contoh pemuzik undangan lain boleh ganti," katanya.

 RAMLI dan Rosli mahu peminat setia menyokong perjuangan mereka dalam seni. - FOTO Rohanis Shukri
RAMLI dan Rosli mahu peminat setia menyokong perjuangan mereka dalam seni. - FOTO Rohanis Shukri

Ramli memberi contoh kumpulan terkenal The Rolling Stones yang kehilangan pemain dram, Charlie Watts yang meninggal dunia dan Bill Wyman yang menarik diri, namun ia masih aktif digerakkan oleh Mick Jagger dan pemain gitar Keith Richards sehingga kini.

"Benda itu boleh berlaku. Lagipun tak banyak lagi kumpulan-kumpulan di Malaysia macam kami yang peminat nak tonton konsert.

"Itu satu benda yang manis bagi saya dan rakan-rakan sebab lagu yang ditinggalkan ada legasi tersendiri.

Kalau dengar album pertama hingga terakhir sekitar tujuh album, ia tinggalkan kesan tersendiri," katanya.

Sementara itu, Rosli Mohalim, 69, atau nama sebenarnya Rosli Dollah berkata, dia amat teruja dengan peluang ini.

"Secara peribadi, dah tiga empat tahun saya tak main pentas bersama Sweet Charity. Syukur saya pulih dan kekuatan saya pun dah 90 peratus.

"Saya dah bersama Sweet Charity dari tahun 1969 iaitu selepas tamat sekolah. Bila diberi peluang oleh Ramli dan arwah A Ali untuk terbabit, saya sangat teruja.

"Setahun selepas itu, kami dapat peluang rakam album dan selepas itu saya terus berjuang dengan Sweet Charity sehingga 1985 menerusi album Berita Gempa," katanya.

Peminat yang hadir bakal disajikan dengan lagu-lagu klasik popular Sweet Charity antaranya Kamelia, Teratai, Sejuta Wajah dan banyak lagi.

Ia pasti menjanjikan perjalanan nostalgia mengimbau kenangan buat peminat setia mereka dan peluang menikmati muzik mereka secara langsung buat peminat baharu.

Konsert bakal menjelajah ke seluruh negara, dengan Johor Bahru sebagai destinasi pertama sebelum menuju ke Sabah, Miri, Langkawi dan Kuala Lumpur.

Nama Konsert Berita Gempa diambil sempena judul album terakhir Sweet Charity dan lagu utama album terbabit.

Bukan sekadar penghargaan buat album klasik ini, konsert ini turut memberi penghormatan buat mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria baru-baru ini.

Sweet Charity ingin menjentik kesedaran terhadap isu global semasa termasuk bencana alam dan memberi impak positif kepada masyarakat melalui muzik mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 6:00 AM