MEMUKAU lebih 3,500 peminat Singapura.
MEMUKAU lebih 3,500 peminat Singapura.
Riadz Radzi


Apabila disebut Sweet Charity, apa yang terlintas dalam kepala kebanyakan peminat ialah penyanyinya, Datuk Ramli Sarip.

Turut menjadi tumpuan ialah pemain gitar, Rosli Mohalim yang dulu digelar 'puntianak Singapore' kerana rambutnya pernah mencecah paras pinggang.

Namun, nama yang jarang disebut ialah Rahman Sarbani, pemain dram yang juga anggota asal Sweet Charity sejak ditubuhkan di Singapura pada 1969.

Tidak seperti Allahyarham Yazit Ahmad dari Search, Black (Wings), Ujang (Exists) atau 'sessionist' berkaliber seperti Tom dan Gary Gideon yang kerap menjadi sebutan jika bercerita mengenai dram dalam industri muzik khususnya muzik rock.

Sumbangan Rahman terhadap industri muzik terutamanya muzik rock bersama Sweet Charity sebenarnya cukup besar. Cuma namanya tidak begitu gah di arus perdana selain sering 'dibayangi' Ramli dan Rosli.

Tidak keterlaluan melabelkan Rahman yang kini usianya mencecah 70 tahun sebagai antara pemain dram rock terhebat sepanjang zaman tanah air.

Aksinya dalam Konsert Ribut - Lima Dekad Bersama Sweet Charity di The Star Theatre, Singapura, baru-baru ini memukau lebih 3,500 penonton.

Bermain 22 lagu untuk konsert berdurasi tiga jam tentulah sesuatu yang hebat buat lelaki berusia 70 tahun. Selain konsisten, permainan Rahman tidak 'terkucil', malah 'stroke' dramnya turut padu. 'Drum rolling' Rahman dalam lagu Sejuta Wajah dan Teratai masih sama seperti dalam album!

Itu cerita Rahman Sarbani, yang pasti Sweet Charity dalam konsert sempena ulang tahun ke-54 penubuhan mereka itu cukup bermakna buat peminat di Singapura.

KESERASIAN gandingan pemain gitar dua generasi, Rosli dan Addy.
KESERASIAN gandingan pemain gitar dua generasi, Rosli dan Addy.

Ini kerana itu adalah konsert pertama Sweet Charity di tanah kelahiran mereka sejak 14 tahun lalu.

Bukan saja Rahman, malam itu Ramli, 71, (penyanyi), Rosli, 69, (gitar) dan AJ, 69, (keyboard) turut 'all out'! Dibantu oleh Rozario Rasul (keyboard), Addy Cradle (gitar), Din Safari (bass) dan Riduan Zalani (percussion), Sweet Charity dengan permainan yang mantap dan padu membuatkan peminat Singapura bangga dengan band tanah air mereka itu.

Jika Sweet Charity di England atau Amerika Syarikat, mereka pasti setaraf dengan The Rolling Stones, Deep Purple, Queen atau Aerosmiths, tetapi mereka cuma di Singapura dan Malaysia.

"Ini saja yang tinggal. Jadi, kita bersyukurlah dengan apa yang ada," kata Ramli yang disambut dengan tepukan dan sorakan penonton.

Ramli juga banyak bercakap pada malam itu. Beliau bercerita mengenai sejarah lagu-lagu mereka dan beberapa kisah nostalgia.

RAMLI Sarip yang tiada tolok banding.
RAMLI Sarip yang tiada tolok banding.

Antaranya, lagu popular Jangan Tunggu Lama-Lama sebenarnya lagu yang mereka tidak suka dan jarang dimainkan dulu.

"Kami tak berapa suka sebab lagu itu lebih sesuai untuk Mat Belia atau Mat Kental. Tapi, peminat pula yang suka," katanya.

Ini termasuk kisah ribut yang melanda Kampung Wak Hassan (kini sudah tidak wujud) di Singapura yang memberi mereka idea menghasilkan lagu Ribut 10.59 Pagi.

Seperti biasa dalam konsert mereka sebelum ini, AJ akan menyanyikan lagu Bagaikan Bermimpi dan Terharu. Walaupun vokal bernada tinggi AJ untuk kedua-dua lagu itu tidak lagi seperti dulu, namun itu sudah cukuplah. Lagipun, dia turut meminta maaf kerana suaranya tidak seperti dulu.

Rosli turut ligat pada malam itu. Sekejap dia di kiri pentas, kemudian ke kanan pentas. Malah, dia turut dilihat turun ke bawah di depan penonton.

Itulah Rosli yang nampaknya makin aktif selepas pulih dari serangan angin ahmar, baru-baru ini.

Seperti biasa, permainan Rosli cukup bersih dan jarang 'terkucil'. Cuma, kali ini 'sound' gitarnya seperti ada yang kurang. Barangkali ada beberapa isu membabitkan teknikal.

Apapun, gabungan Rosli dan Addy cukup serasi. Addy yang berpengalaman bersama Teacher's Pet dan Cradle membuktikan dia layak sepentas dengan Sweet Charity.

Bercerita mengenai senarai lagu, daripada 22 lagu yang dimainkan, 20 adalah yang biasa kita dengar daripada Sweet Charity dan ia juga kerap dinyanyikan Ramli di konsert-konsert solonya.

RAHMAN Sarbani tetap ‘gagah’ di posisi dram.
RAHMAN Sarbani tetap ‘gagah’ di posisi dram.

Hilang Gelap Terbitlah Terang, Sejuta Wajah, Tahun 2000, Pelarian, Dekatlah Padaku, Dunia Perlumbaan, Musibah, Raja Kumbang, Bagaikan Bermimpi, Terharu, Datang Dan Pergi, Batu, Lahirmu Bukan Untuk Dunia, Ribut 10.59 Pagi, Kamelia, Teratai dan Penunggu ini memang cukup sinonim dengan konsert Sweet Charity dan Ramli.

Yang lain sedikit pada malam itu adalah lagu Seniman Di Rantau dan Apa Khabar Sayang? Begitu juga dengan Jangan Tunggu Lama-Lama dan Zakiah yang dilihat lebih segar dengan penampilan kumpulan gendang dan percussion, Nadi Singapura.

Secara peribadi, saya teringin melihat Sweet Charity membawakan lagu-lagu seperti Sama Sama Merasa, Nada Penyesalan, Dia, Bulat Bulat, Jangan Tak Jadi, Dalam Kerinduan, Hanya Rock & Roll, Sharifah Aloya, Manusia Dan ABC, Perjalanan dan beberapa lagi.

Apapun, malam itu, peminat Sweet Charity pulang dengan senyuman. Puas dengan persembahan mereka!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 7:02 AM