Noh Salleh
Noh Salleh
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi Noh Salleh mengakui keinginannya untuk kembali beraksi dalam konsert memuncak, namun pada masa sama bimbang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Penyanyi kumpulan Hujan ini berkata kebenaran untuk mengadakan konsert dengan mengikut SOP, agak tidak jelas. 

"Mereka hanya cakap boleh buat konsert dengan mengikut SOP, tapi tidak diperincikan sepenuhnya.

"Banyak benda yang mereka boleh saman kita bila-bila masa, kalau mereka nak. 

"Saya seorang yang memanfaatkan persembahan untuk keseronokan peminat," katanya.

Menurut Noh, dia tidak mahu peminat yang hadir menonton nanti akan menanggung beban dengan kompaun dikenakan.

"Dahlah mereka (peminat) kena bayar bila datang tengok show, selepas itu kena saman pula nanti.

"Jadi, baiklah tunggu dulu sehingga bendanya jelas," katanya yang ditemui pada sidang media pelancaran Kopstar Got Milk Charity Virtual Run 2021, baru-baru ini.

Menerusi pembabitannya dalam Kopstar (Koperasi Industri Muzik Malaysia Berhad), Noh akan mempromosikan program larian awam secara virtual (virtual run) bagi mengutip dana untuk golongan kurang bernasib baik.

Dalam perkembangan lain Noh berkata, untuk perancangan tahun ini, Hujan akan tampil dengan kaset yang memuatkan kompilasi lagu-lagu yang dinyanyikan ketika persembahan.

"Lagu-lagunya dikira sangat diingati oleh Raingers (peminat) kami. Peminat sejati Hujan pasti tahu lagu-lagu ini. 

"Kaset ini akan memuatkan 14 lagu dan sudah siap sepenuhnya, selain kami juga hasilkan t-shirt khas bersama album ini. 

"Sememangnya cara Hujan apabila keluarkan album mesti akan buat yang terbaik. Tajuk album ini ialah Riot dan ia dihasilkan secara khas dalam bentuk kaset sebagai 'koleksi' untuk simpanan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 12:24 PM